MUHAMMAD Sanusi Md Nor. FOTO arkib NSTP
MUHAMMAD Sanusi Md Nor. FOTO arkib NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah mengambil keterangan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung kenyataannya didakwa mempertikaikan kewibawaan Institusi Kesultanan Selangor dalam pemilihan Menteri Besar Selangor.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman merakam percakapan Muhammad Sanusi di hotel di Bangsar, di sini, awal pagi tadi.

"Kita juga sudah merakam percakapan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng di Pulau Pinang, hari ini.

"Keterangan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pula sudah diambil di pejabatnya di Jalan Raja Laut, di sini, 3.30 petang, semalam.

"Kertas siasatan membabitkan ketiga-tiga ahli politik itu sedang dilengkapkan sebelum dihantar ke pejabat Peguam Negara selewat-lewatnya Isnin ini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, polis mengesahkan membuka siasatan terhadap Muhammad Sanusi berhubung kenyataannya yang didakwa menghina Sultan Selangor.

Ahad lalu, polis mengesahkan menjalankan siasatan terhadap Abdul Hadi berkaitan kenyataan yang mendakwa DAP mahu mengekalkan pengertian Islam dalam Perlembagaan Persekutuan berdasarkan tafsiran penjajah menjunjung liberalisme dan kebebasan diamalkan negara Barat.

Kenyataan itu dipercayai dilakukan melalui hantaran dalam Facebook Abdul Hadi dimuat naik pada 8 Julai lalu turut diulas serta diterbitkan oleh portal berita .

Siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5) JSJ Bukit Aman di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 Komunikasi dan Multimedia 1998.

Selain itu, Razarudin dipetik berkata, pihaknya turut menyiasat kenyataan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng yang mendakwa 'gelombang hijau' bakal musnahkan tokong dan menafikan hak agama di Pulau Pinang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Julai 2023 @ 5:03 PM