Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor diharap tidak memainkan isu orang Melayu dan agama Islam dalam membentuk sentimen rakyat untuk meraih undi.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, banyak lagi isu lain boleh diberikan perhatian oleh Muhammad Sanusi terutamanya mengenai pembangunan negeri dan keperluan golongan muda di Kedah.

"Dia boleh cerita buat untuk orang muda, orang muda sekarang nak satu keadaan harmoni dan stabil, jaminan masa depan, ada makan atas meja, dia (golongan muda) kena bayar duit rumah, duit kereta, anak dia sekolah, anak dia kecil, untuk Kedah apa dia (Muhammad Sanusi) jamin.

"Kita ada [new deal' untuk BN dan PH di Kedah. Mempertahankan (keistimewaan orang) Melayu ini semua orang dah cerita tajuk itu, mempertahankan Melayu, Islam dalam Perlembagaan ada.

"Malah Setiausaha Agung DAP Anthony Loke memberi jaminan parti itu tidak akan mempersoalkan soal kaum dan agama," katanya pada sidang media di Bangunan UMNO di sini, tadi.

Turut hadir, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Muhammad Sanusi yang dilaporkan media semalam mendakwa parti politik ibarat 'diikat' kaki dan tangan apabila dilarang bercakap isu 3R iaitu agama, kaum dan institusi raja.

Sementara itu, Mahfuz berkata Muhammad Sanusi, yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) harus menjelaskan rancangannya untuk mengurangkan isu pengangguran di Kedah.

"Terdapat 135,000 orang yang mendaftar dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Kedah untuk mencari pekerjaan.

"Beliau sepatutnya memberi tumpuan untuk menerangkan apa yang PN tawarkan untuk menyelesaikan pengangguran di kalangan rakyat Kedah," katanya.

Sebaliknya, beliau berkata, Muhammad Sanusi cuba mengalih perhatian orang ramai dengan mengupas isu 3R dengan membuat kenyataan mengenai orang bukan Islam yang dicemari dengan rasuah.

Mahfuz yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) mendakwa Sanusi berkemungkinan cuba menutup amalan rasuah PN, berikutan keputusan PAS untuk tidak merayu terhadap keputusan petisyen pilihan raya bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu.

Muhammad Sanusi ketika ditemui bual ketika program bual bicara 'Keluar Sekejap' bersama Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan kelmarin, berkata, individu bukan Islam adalah yang paling ramai ditangkap kerana memberi dan menerima rasuah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Julai 2023 @ 4:19 PM