MUHAMMAD Sanusi menyerahkan geran tanah kepada penduduk Kampung Sejahtera, Mukim Teloi. FOTO Noorazura Abdul Rahman
MUHAMMAD Sanusi menyerahkan geran tanah kepada penduduk Kampung Sejahtera, Mukim Teloi. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


Sik: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar dilihat lebih sesuai bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Derga atau Kota Darul Aman dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang berikutan beliau memerlukan sokongan pengundi Cina.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, beliau lebih selesa bertanding di DUN Jeneri memandangkan dirinya anak jati di DUN berkenaan dan mempunyai keluarga dan saudara mara yang ramai.

"Saya sudah ada DUN saya (Jeneri), saya selesa di situ, rumah dan kampung (Sungai Pau) saya di situ.

"Dia (Mahfuz) tak tau kampung mana, adik beradik dok mana, kenapa dia suruh saya pi (bertanding) di situ.

"Cadangan dia biar munasabah dan masuk akal.. bagi dia la bertanding situ sebab dia sesuai, akhir-akhir ini pun dia bergantung kepada undi Cina untuk menang...kalau Cina tak sokong dia pun tak menang," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Geran Tanah Peringkat Daerah Sik dan Perasmian Kampung Sejahtera, di sini, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan Muhammad Sanusi dicabar bertanding di DUN Derga atau Kota Darul Aman dalam PRN akan datang bagi 'menyelamatkan' orang Melayu di kawasan itu.

Mahfuz dilaporkan berkata, Sanusi perlu berani meninggalkan DUN Jeneri untuk membuktikan dirinya Menteri Besar yang memiliki sokongan menyeluruh rakyat Kedah.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, Mahfuz dijangka mampu menang di DUN berkenaan dan menjadi wakil rakyat memandangkan dua DUN itu ramai pengundi Cina.

"Pengundi Melayu tak mau dia dah, kalah (PRU-15) majoriti 31,000 (undi) bos.. nak kampoi macam mana tu," katanya.

Pada PRU-15 lalu, selepas empat penggal menyandang kerusi Parlimen Pokok Sena, Mahfuz yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) kecundang di tangan calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Ahmad Yahaya.

Ahmad yang juga Pesuruhjaya Pas Kedah memperoleh 52,275 undi dengan majoriti 31,751 sekali gus menewaskan Mahfuz yang mendapat 20,524 undi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Februari 2023 @ 2:52 PM