MUHAMMAD Sanusi (kiri) dan Mahfuz (kanan). FOTO NSTP
MUHAMMAD Sanusi (kiri) dan Mahfuz (kanan). FOTO NSTP
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar perlu merujuk kepada peguam untuk proses pembayaran kes saman fitnah dan bukannya meminta secara terus menerusi rakaman video yang dimuat naik di laman sosial baru-baru ini, menurut Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Muhammad Sanusi berkata, tindakan bekas ahli Parlimen Pokok Sena itu disifatkan seperti mencari publisiti murahan berikutan sejak awal kes berkenaan diuruskan oleh kedua-dua peguam yang dilantik.

Katanya, semua urusan berkaitan termasuk pembayaran terhadap tuntutan Mahfuz sebanyak RM120,000 akan diuruskan oleh peguam.

"Semua urusan berkenaan dengan saman, afidavit atau pembelaan semua peguam uruskan, bukan saya berurusan secara terus dengan dia.

"Daripada awal lagi proses ini diurus antara peguam saya dan peguam Mahfuz, daripada bicara kes sampai selesai. Jadi tak betullah kalau tentang bayaran Mahfuz cuba bertindak sendiri," katanya di sini, hari ini.

Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah turut menasihatkan Mahfuz agar bersabar kerana proses membabitkan guaman kebiasaannya mengambil masa.

"Nasihat saya sabarlah dan rujuk kepada peguam. Saya akan minta peguam saya uruskan pembayaran dan ia akan diuruskan antara peguam saya dengan peguam Mahfuz, bukan Sanusi dan Mahfuz," katanya.

Muhammad Sanusi berkata, tindakan Mahfuz meminta bayaran RM120,000 menerusi rakaman video yang dimuat naik di laman twitter itu juga disifatkan sebagai cubaan untuk menimbulkan persepsi negatif terhadap dirinya.

"Saya rasa cara berpolitik seperti itu macam tahun 1960-an, tak sesuailah zaman sekarang orang cerdik menilai," katanya.

Pada 23 April lalu, bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu mengingatkan Muhammad Sanusi agar membayar ganti rugi sebanyak RM120,000 seperti diputuskan Mahkamah Rayuan Putrajaya susulan Muhammad Sanusi belum melunaskan tuntutan berkenaan walaupun tempoh pembayaran ditetapkan 14 hari daripada proses penghakiman.

Rentetan itu, Mahfuz tidak menolak kemungkinan menaikkan tuntutan daripada RM120,000 kepada RM240,000 sekiranya tiada sebarang tindakan susulan dibuat oleh Muhammad Sanusi.

Pada 3 April, Muhammad Sanusi gagal dalam rayuan saman fitnah yang difailkan Mahfuz, sebaliknya permohonan Mahfuz untuk menaikkan jumlah bayaran ganti rugi diluluskan daripada RM50,000 kepada RM120,000.

Mahfuz memfailkan saman pada 9 Oktober 2019 berdasarkan hantaran dibuat Muhammad Sanusi melalui akaun Facebook pada 30 Julai 2019, yang mengaitkan Ahli Parlimen Pokok Sena itu dalam isu pemindahan premis judi ke kawasan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mei 2023 @ 9:12 PM