Mohd Amin Jalil


Seremban: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang berusaha mengatasi masalah capaian Internet lemah yang dikesan berlaku di beberapa Universiti Awam (UA) di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata, kementerian sudah mengemukakan keperluan untuk menangani masalah kepada kerajaan.

"Memang tidak dinafikan ada masalah Internet di beberapa universiti dan asrama penuntut, malah kita sudah kemukakan kepada kerajaan untuk meningkatkan lagi kemudahan Internet dalam setiap IPTA," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Kolej Komuniti (JPENKK) Peringkat Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan Umno merangkap Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Beliau diminta mengulas mengenai langkah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) untuk mengadakan sesi libat urus dengan semua bahagian pembangunan universiti bagi mengetahui keadaan Internet di kampus masing-masing, yang dilaporkan kurang baik.

Mohamed Khaled berkata, pihaknya yakin perkara itu akan dapat ditangani secepat mungkin untuk kepentingan penuntut.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau menegaskan KPT berhasrat untuk memperkasakan Kolej Komuniti sebagai tempat bagi anggota masyarakat menimba ilmu dan kemahiran bagi meningkatkan pencapaian ekonomi.

Sehubungan itu, katanya, peluang ditawarkan seluas-luasnya kepada mereka yang tiada kelayakan untuk mendapatkan kemahiran.

MOHAMED Khaled (tiga dari kanan) berbual dengan penerima watikah pelantikan pada Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Kolej Komuniti Negeri Sembilan, hari ini. FOTO Azrul Edham
MOHAMED Khaled (tiga dari kanan) berbual dengan penerima watikah pelantikan pada Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Kolej Komuniti Negeri Sembilan, hari ini. FOTO Azrul Edham

"Matlamat kita ingin terus perluaskan fungsi Kolej Komuniti sebagai pusat yang memberikan pendedahan serta kelayakan awal kepada mereka yang sebelum ini tidak mempunyai apa-apa langsung kelayakan atau latihan.

"Kolej Komuniti seharusnya dipilih oleh sesiapa sahaja dalam masyarakat yang mahu meningkatkan kemahiran diri kerana institusi ini tidak mensasarkan mana-mana kelompok umur.

"Ia adalah institusi yang terbuka untuk semua dan harus menjadi medan pengajian sepanjang hayat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Julai 2023 @ 9:01 PM