Ekhwan Haque Fazlul Haque

SERAMAI 30,000 pekerja menerima manfaat Sistem Insuran Pekerja (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bernilai RM103 juta.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, berkata jumlah itu diterima pekerja sehingga hujung Mei lalu.

Menurutnya, faedah daripada SIP itu diberikan kepada pekerja yang menerima impak susulan penutupan pelbagai sektor akibat Covid-19.

"Faedah SIP itu membolehkan pekerja meneruskan hidup sementara mencari pekerjaan baharu.

"Berdasarkan kajian, tiga sektor paling terjejas teruk antaranya pembuatan, perhotelan dan pelancongan impak daripada Covid-19," katanya dalam sidang media menghadiri Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Ahli Lembaga Perkeso hari ini.

M SARAVANAN (dua kanan) menyampaikan watikah pelantikan kepada Pengerusi Lembaga Perkeso Tan Sri Dr Mohamed Haniffa Abdullah (dua kiri) yang dilantik sebagai Panel Pelaburan, Pengerusi Jawatankuasa Insurans Pekerjaan dan Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Ahli Lembaga Perkeso di Menara Perkeso. FOTO BERNAMA

Beliau berkata, kerajaan kini sedaya upaya untuk membantu mengurangkan kadar pengangguran di negara ini dengan mengenal pasti pelbagai inisiatif.

Katanya, program tambah kemahiran (upskilling) dan latih semula (reskilling) kini sedang giat dijalankan bagi memastikan mereka yang terjejas boleh diterima kerja dalam industri lain.

Dalam sidang media sama, Perkeso merancang untuk menubuhkan pusat dialisis untuk memudahkan rawatan dialisis yang kini semakin meningkat.

Menurutnya, seramai 18,620 pencarum Perkeso menerima manfaat daripada rawatan dialisis dan sepanjang tahun lalu RM290.8 juta perbelanjaan dikeluarkan pertubuhan itu untuk tujuan berkenaan.

"Pusat dialisis sendiri akan ditubuhkan bagi memenuhi keperluan terhadap kemudahan berkenaan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Jun 2020 @ 2:28 PM