Redzuan Muharam

Kuala Pilah: Program Komuniti McDonald's dan Ronald McDonald House Charities (RMHC) Bersama Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) menyantuni 30 kanak-kanak kurang bernasib baik dari Yayasan Kasih Sayang Negeri Sembilan (YKSNS) di sini, semalam sebagai tanda prihatin dan memberi keceriaan kepada mereka.

Program sempena Bulan Komuniti Kanak-Kanak McDonald's itu disempurnakan dengan sambutan hari lahir dan penyampaian sumbangan keperluan bilik tidur iaitu bantal, tilam, cadar serta sarung bantal untuk keselesaan mereka.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald's Malaysia merangkap Presiden RHMC Azmir Jaafar berkata, Program Komuniti Kanak-Kanak McDonald's berterusan sejak lima tahun lalu.

Sempena Bulan Komuniti Kanak-Kanak tahun ini, pasukan restoran McDonald's sudah berjaya melaksanakan sambutan hari jadi di lebih 400 rumah anak yatim untuk lebih 12,000 kanak-kanak di seluruh negara setakat minggu lalu.

"McDonald's mementingkan kebajikan dan kemasyarakatan serta menjadikan Oktober sebagai bulan untuk membudayakannya bersama anak-anak yang kurang berkemampuan.

"YKSNS adalah satu daripada 25 rumah kebajikan dibantu di seluruh negara dengan kos keseluruhan RM350,000.

"Selain keperluan bilik tidur, kita turut menyumbang beg sekolah dengan kelengkapan untuk kanak-kanak kurang berkemampuan bandar serta kampung," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan program yang turut dihadiri Pengerusi Kumpulan Media Prima Bhd Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid.

Program berkenaan turut diserikan dengan aktiviti gotong-royong memasang barangan keperluan bilik tidur di asrama lelaki sebagai simbolik sumbangan.

SYED Hussian (kanan) bersama Azmir (dua dari kiri) dan Husain  (dua dari kanan) bergotong-royong memasang kelengkapan bilik tidur asrama lelaki di YKSNS. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
SYED Hussian (kanan) bersama Azmir (dua dari kiri) dan Husain (dua dari kanan) bergotong-royong memasang kelengkapan bilik tidur asrama lelaki di YKSNS. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin

Sementara itu, Pengarang Kumpulan Harian Metro merangkap Pengerusi Projek TKHM Husain Jahit berbesar hati kerana dapat menjalin kerjasama dengan McDonald's dan RMHC dalam menjayakan program berkenaan.

"Matlamat penganjuran program ini adalah untuk meraikan penghuni dengan menyambut sambutan hari lahir serta mengubah suai ruang bilik tidur dengan menggantikan tilam serta lain-lain lagi.

"Apa kita harapkan adalah bantuan itu dapat menceriakan anak di sini dan pihak yayasan serta mengalukan lebih ramai pihak lain supaya tampil membantu," katanya.

Timbalan Presiden YKSNS, Norizan Zakaria menyambut baik inisiatif McDonald's, RMHC dan Harian Metro dalam menganjurkan program TKHM.

SYED Hussian (dua dari kiri), Azmir (belakang, dua dari kanan),  Husain (empat dari kiri) dan Norizan (tiga dari kiri) meraikan sambutan hari jadi pada Program Komuniti McDonald's dan Ronald McDonald House Charities (RMHC) Bersama Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) di Yayasan Kasih Sayang Negeri Sembilan (YKSNS).  FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin

"Jutaan terima kasih kepada McDonald's, RMHC dan Harian Metro kerana menjalin kerjasama dalam meraikan penghuni di sini.

"Kehadiran ke sini adalah satu rahmat dan diharap jalinan silaturahim ini berterusan.

"Yayasan memerlukan kira-kira RM30,000 bagi menampung kos perbelanjaan bulanan dan kebanyakan sumbangan daripada pihak luar yang mana itu yang membolehkan kami bertahan bagi meneruskan perkhidmatan rumah kedua kepada penghuni," katanya.

Sempena program Bulan Komuniti Kanak-Kanak tahun ini, McDonald's menyambut hari kelahiran setiap penghuni rumah anak yatim tersebut untuk memberi keriangan kepada mereka sementara masih mengekalkan pematuhan terhadap prosedur operasi standard dalam setiap sambutan.

SYED Hussian (kiri), Azmir (dua dari kiri) dan Husain  (kanan) menyerahkan sumbangan kepada Norizan (dua dari kanan)  di Yayasan Kasih Sayang Negeri Sembilan (YKSNS). FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
SYED Hussian (kiri), Azmir (dua dari kiri) dan Husain (kanan) menyerahkan sumbangan kepada Norizan (dua dari kanan) di Yayasan Kasih Sayang Negeri Sembilan (YKSNS). FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Oktober 2021 @ 7:05 AM