Mohd Amin Jalil


Seremban: Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa menikmati makan tengah hari bersama warga Seremban di kedai Nasi Ayam Hainan Kak Lina di Taman Ampangan di sini, hari ini.

Perdana Menteri yang tiba kira-kira jam 12.10 tengah hari, meluangkan masa hampir satu jam menjamu selera sebelum bergerak ke Masjid Kariah Panchor Jaya, Taman Panchor Jaya untuk menunaikan solat Jumaat.

Selain nasi ayam dan itik yang juga menu utama kedai berkenaan, Anwar turut mencuba beberapa juadah lain termasuk cendol durian dan apam Johol.

Turut hadir, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Pengerusi Amanah Negeri Sembilan, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman.

Terdahulu, beliau hadir menyampaikan amanat kepada penjawat awam Negeri Sembilan di Dewan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) yang bermula jam 10 pagi.

Sementara itu, pemilik kedai berkenaan, Mazlan Ibrahim, 51, berkata sejak dimaklumkan mengenai kehadiran Perdana Menteri dua hari lalu, perasaannya bercampur-baur dan teruja kerana tidak menyangka Anwar akan singgah ke kedainya.

Anwar Ibrahim (tiga dari kanan) ditemani Aminuddin (dua dari kanan) ketika makan tengah hari di Kedai Nasi Ayam Hainan Kak Lina di Taman Panchor Jaya. FOTO AZRUL EDHAM
Anwar Ibrahim (tiga dari kanan) ditemani Aminuddin (dua dari kanan) ketika makan tengah hari di Kedai Nasi Ayam Hainan Kak Lina di Taman Panchor Jaya. FOTO AZRUL EDHAM

Menurutnya, sebelum ini beberapa selebriti dan Ahli Parlimen datang ke kedainya antaranya Datuk Ismail Lasim dan artis seperti Rozita Che Wan, Ayu Raudhah dan Ebby Yus.

"Malah Menteri Besar pun selalu datang di sini, tapi Perdana Menteri memang ini kali pertama, ia adalah sejarah bagi kedai kami.

"Satu kebanggaan dan kehormatan buat kami, dapat jamu orang ternama. Tidak pernah saya membayangkan pemimpin utama negara akan singgah dan menikmati 'air tangan kami'," katanya kepada pemberita.

Mazlan berkata, bagi memastikan kelancaran operasi gerainya ketika kunjungan Perdana Menteri, beliau mengupah lima pekerja tambahan bagi membantu 10 pekerja sedia ada yang membuat persiapan sejak dua hari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Julai 2023 @ 3:13 PM