Pasukan penyelamat meneruskan operasi pencarian seorang lagi mangsa tragedi fenomena kepala air di Jeram Air Putih Kemaman. FOTO IHSAN PDRM
Pasukan penyelamat meneruskan operasi pencarian seorang lagi mangsa tragedi fenomena kepala air di Jeram Air Putih Kemaman. FOTO IHSAN PDRM
Rosli Ilham


Chukai: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih diteruskan bagi mencari seorang lagi mangsa tragedi kepala air di Jeram Air Putih, Kemaman, hari ini.

Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Azman Alias berkata, pencarian Putri Nur Fatin Karim, 14, iaitu sat-satunya mangsa belum ditemui hanya dibuat dalam skala kecil berbanding operasi sebelum ini.

Menurutnya, operasi membabitkan seramai 22 anggota pasukan penyelamat daripada JBPM dan polis.

"Pasukan penyelamat hari ini memberi tumpuan pencarian di Sektor A dan Sektor B dengan melakukan operasi pencarian menggunakan bot dan mencari di sepanjang beting pasir.

"Kita juga mengharapkan bantuan penduduk atau nelayan yang menemui objek di darat atau terapung diminta segera menghubungi pihak kami," katanya.

Katanya, operasi berkenaan dikecilkan berikutan tiada petunjuk baharu selepas seminggu pencarian dilakukan.

"Sepanjang seminggu hingga semalam, pasukan penyelamat berusaha keras melakukan pencarian meliputi segenap sektor dari lokasi kejadian hingga ke muara Sungai Kemaman, namun menemui jalan buntu.

"Berikutan itu, Pusat Kawalan Operasi di Balai Polis Air Putih dan Pusat Kawalan Hadapan di Kampung Pasir Minal serta Kampung Seberang Tayor ditutup dan kini pengoperasian dipindahkan ke Balai Bomba dan Penylamat (BBP) Cheneh," katanya.

Katanya, biarpun operasi SAR dilakukan dalam skala kecil, pasukan penyelamat terus berusaha dan berharap mayat terakhir itu dapat ditemui dengan segera.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Julai 2023 @ 1:34 PM