Pasukan penyelamat mendengar taklimat sebelum memulakan operasi pencarian hari ini. Foto Rosli Ilham
Pasukan penyelamat mendengar taklimat sebelum memulakan operasi pencarian hari ini. Foto Rosli Ilham
Rosli Ilham


Chukai: Operasi mencari dan menyelamat seorang lagi mangsa tragedi fenomena kepala air di Jeram Air Putih, yang disambung hari ini akan menggunakan kaedah menggali beting pasir di sepanjang jeram terbabit.

Ketua Zon 2, Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Penguasa Kanan Bomba II, Azman Alias berkata, ia berikutan wujud beting pasir susulan perubahan aliran air sungai.

Menurutnya, berdasarkan pengalaman sebelum ini, ada mangsa yang dijumpai di bawah timbunan beting pasir.

"Oleh itu kita akan gunakan kaedah pencarian sebegitu kerana kita dapati wujud banyak beting pasir di sepanjang jeram itu.

"Kita juga akan turut menggunakan khidmat anjing pengesan untuk mencari mangsa yang berkemungkinan berada di situ," katanya selepas taklimat kepada 250 pasukan penyelamat yang menyertai operasi hari ini.

Azman berkata, fokus pencarian juga akan dilakukan di bawah timbunan kayu hanyut termasuk di kawasan yang pernah dilakukan sebelum ini.

"Memandangkan faktor geografi jeram dan sungai ini yang sentiasa berubah, sebab itu kita perlu mengulangi semula pencarian di kawasan sebelum ini.

"Pasukan penyelamat juga akan turut mencari di kawasan tebing sungai termasuk kaedah selaman di air," katanya.

Katanya, operasi yang masuk hari ketujuh hari ini akan menumpu sepenuhnya di sektor A, iaitu satu kilometer sebelum lokasi kejadian sehingga ke Jambatan Kampung Teladas.

"Pasukan penyelamat turut dipecahkan ke sektor B dan sektor C untuk melakukan pencarian sehingga ke Kuala Kemaman," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Julai 2023 @ 12:18 PM