Zatul Iffah Zolkiply


Chukai: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa fenomena kepala air di Jeram Air Putih di sini sudah meliputi kira-kira 65 peratus daripada kawasan carian.

Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu Azman Alias berkata, baki pencarian itu akan disambung pada esok dalam usaha mengesan dua lagi mangsa yang masih hilang.

Beliau berkata, pencarian tertumpu di sektor A, B dan C merangkumi jarak 32 kilometer (KM).

"Tumpuan kita esok untuk pencarian di sektor A masih lagi berbaki dalam 60 peratus (di mana) di sektor A yang belum kita melakukan pencarian lagi iaitu sehingga ke Jambatan Teladas.

"Kita akan teruskan pencarian esok dan di sektor B, kita akan tukar dengan unit anjing pengesan (K9) bagi memastikan kita dapat membuat pencarian secara terperinci di semua kawasan.

"Kita akan buat keputusan balik sama ada meneruskan atau ambil tindakan yang sewajarnya selepas melakukan pencarian di seluruh kawasan," katanya pada sidang media di Pusat Kawalan Operasi di Balai Polis Air Putih di sini hari ini.

Dalam pada itu, Azman berkata, kawasan Jeram Air Putih yang terletak di sektor A hanya dibuka kepada pasukan penyelamat.

Beliau berkata, pihaknya tidak membenarkan mana-mana pihak memasuki kawasan berkenaan dan ia akan dibuka kembali kepada orang awam apabila SAR ditamatkan.

"Jadi kita minta kerjasama semua pihak tidak memasuki kawasan berkenaan memandangkan keadaan cuaca tidak menentu ketika ini," katanya.

Ketika ini, dua lagi mangsa iaitu Putri Nor Fatin Karim, 14, dan Muhammad Fikri Saliman ,24, belum ditemui.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Julai 2023 @ 7:01 PM