Kes pergaduhan membabitkan dua lelaki di sebuah stesen stesen minyak di kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Gurun yang tular di media sosial. FOTO IHSAN PEMBACA.
Kes pergaduhan membabitkan dua lelaki di sebuah stesen stesen minyak di kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Gurun yang tular di media sosial. FOTO IHSAN PEMBACA.
Muhaamad Hafis Nawawi


Sungai Petani: Polis menahan lelaki berusia 35 tahun selepas membuat laporan polis susulan video tular di media sosial memaparkan dia mengacu parang dalam pertengkaran membabitkan seorang individu di stesen minyak di kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Gurun, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, pihaknya mengesan video tular itu di Facebook (FB) pada 10 pagi semalam, dengan pemandu lori terbabit dilihat mengeluarkan parang ketika pertengkaran berlaku.

"Anggota Task Force Balai Polis Gurun dikerah ke lokasi dan menemubual pengurus stesen minyak yang memaklumkan kejadian berlaku pada 7.40 malam, 1 Julai lalu.

"Semakan mendapati video itu dimuat naik pengguna Facebook Eysz Seventhx," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas mengenai kejadian, Zaidy berkata, ia bermula apabila pemandu lori memandu keluar dari Hentian Bukit Kobah, Pendang (Lebuhraya Utara Selatan), berselisih faham dengan lelaki yang memandu pacuan empat roda Ford Ranger, gara-gara pemandu kenderaan itu membunyikan hon.

"Perselisihan faham antara mereka berterusan sehingga sampai di tempat kejadian. Pemandu lori mendakwa diugut pemandu Ford Ranger, menyebabkan dia mengeluarkan sebilah parang yang disimpan di dalam lorinya," katanya.

Menurutnya, pemandu lori membuat laporan polis semalam dan dia ditahan untuk siasatan lanjut, manakala polis masih mencari pemandu Ford Ranger untuk membantu siasatan.

"Usaha mengesan serta menahan pemandu Ford Ranger sedang dijalankan. Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 6 (1) Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.

Beliau meminta pemilik akaun FB dan saksi kejadian yang mempunyai maklumat supaya menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Sabri Salamat di talian 014 6727927 bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Julai 2023 @ 10:29 AM