Amirul Aiman Hamsuddin


REMAN terhadap pemandu kenderaan pacuan empat roda Ford Ranger yang merempuh penunggang motosikal sehingga maut di Jalan Kebun, Klang, ditunda ke pagi esok.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli ketika dihubungi mengesahkan perkara itu yang diberi perhatian serius pihak polis.

Beliau berkata, pemandu lelaki berusia 29 tahun itu akan dibawa ke Mahkamah Majistret Klang jam 9 pagi esok untuk mendapatkan kebenaran tahanan reman untuk disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Harian Metro sebelum itu melaporkan seorang juruteknik sebuah kilang maut manakala dua lagi rakannya cedera sejurus motosikal masing-masing dirempuh pacuan empat roda Ford Ranger, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 7.20 pagi itu, penunggang motosikal Nuovo LC, Muhammad Zulfakkar Borhan, 29, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Manakala, penunggang dan pembonceng motosikal Honda EX5, Muhammad Hazid Mohd Kamil, 27 dan Muhammad Anas Mokti, 27, parah dan masing-masing ditempatkan di zon kuning dan zon merah Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.

Sementara pemandu Ford Ranger berusia 37 tahun yang juga peniaga ikan tidak mengalami kecederaan.

Dalam pada itu, rakaman video pemandu Ford Ranger terbabit dipijak dan dibelasah orang awam selepas kemalangan itu, tular di Facebook.

Rata-rata netizen mencemuh dan mengecam tindakan pemandu kenderaan pacuan empat roda itu disebabkan memandu secara cuai hingga menyebabkan kematian.

Berita berkaitan:

  • Dibelasah rempuh mati penunggang motosikal
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 January 2020 @ 5:55 PM