KERETA Perodua Ativa yang dinaiki bayi dua bulan bersama keluarganya remuk dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan. FOTO Ihsan Polis.
KERETA Perodua Ativa yang dinaiki bayi dua bulan bersama keluarganya remuk dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan. FOTO Ihsan Polis.
Meor Riduwan Meor Ahmad


Jasin: Hasrat suami isteri untuk mengadakan majlis akikah anak bongsu berusia dua bulan di kampung halaman, tidak kesampaian selepas mereka terbabit kemalangan dengan enam kenderaan, hari ini.

Tragedi berlaku kira-kira 11 pagi di Kilometer 184 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan dekat sini, mengorbankan bayi mereka, Mohamad Sufyan Mohamad Shahizwan.

Bayi malang yang parah di kepala dan badan itu menghembuskan nafas terakhir di Hospital Melaka pada 2.55 petang.

Ketua Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, kemalangan membabitkan treler muatan kereta; lori; tiga kereta dan sebuah pacuan empat roda yang dalam perjalanan dari arah utara ke selatan.

Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila treler dipandu lelaki, 39, hilang kawalan sebelum merempuh Perodua Ativa dinaiki Mohamad Shahizwan Abd Hamid, 35, dan isteri, Nurmadiha Nisa Suhaimi, 34, serta dua anak lelaki termasuk mangsa.

"Pelanggaran menyebabkan bayi mereka yang duduk di kerusi kanak-kanak di bahagian belakang parah, manakala Mohamad Shahizwan yang memandu kereta serta isteri dan seorang lagi anak lelaki berusia tiga tahun tidak cedera.

"Treler itu turut merempuh empat lagi kenderaan iaitu lori, Ford Ranger, Perodua Myvi dan Mercedes Benz. Semua pemandu dan tiga penumpang selamat," katanya dalam kenyataan.

Ahmad Jamil berkata, ketika kejadian, Mohamad Shahizwan yang juga pegawai penyiasat trafik di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya dalam perjalanan ke Kluang, Johor dan difahamkan bakal menganjur majlis akikah atas kelahiran bayi mereka.

"Setakat ini polis sudah mengambil sampel darah pemandu treler untuk analisa kimia, namun, ujian saringan air kencing belum dapat dilaksana kerana dia ditahan di hospital selepas mengalami tekanan darah rendah," katanya.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Februari 2024 @ 8:47 PM