Keadaan kenderaan terbabit kemalangan. FOTO ihsan Bomba
Keadaan kenderaan terbabit kemalangan. FOTO ihsan Bomba
Mohd Hafizee Mohd Arop


Gerik: Seorang maut, seorang parah, enam cedera dan empat selamat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di kilometer 45, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) di sini, jam 2.27 petang tadi.

Dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu Ford Ranger, Naza Ria dan Proton Wira Aeroback itu turut mengakibatkan Ford Ranger dinaiki tiga individu itu tercampak ke bawah jambatan.

Difahamkan, pemandu Ford Ranger yang dikenali sebagai Wong Wew Kheng, 57, maut ditempat kejadian, manakala seorang penumpang kenderaan itu parah dan seorang lagi terselamat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gerik Azizul Aswad Asari berkata, Ford Ranger dari arah Kota Bharu, Kelantan ke Gerik itu dipercayai merempuh Naza Ria yang datang dari arah bertentangan sebelum Wira Aeroback merempuh bahagian belakang Naza Ria.

Katanya, rempuhan kuat itu menyebabkan Ford Ranger berkenaan tercampak ke bawah jambatan.

Menurutnya, tiga mangsa yang menaiki Naza Ria mengalami kecederaan dan dua terselamat manakala dua mangsa menaiki Proton Wira Aeroback cedera dan dua lagi terselamat.

"Anggota bomba yang tiba mendapati kesemua mangsa menaiki Ford Ranger sudah dikeluarkan orang awam dan tindakan dilakukan menggunakan pengusung untuk membawa naik kesemua mangsa termasuk seorang yang maut.

"Mangsa yang parah dan cedera dibawa ke hospital untuk menerima rawatan, manakala yang meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Julai 2016 @ 10:13 PM