Meor Riduwan Meor Ahmad

Melaka: "Memang terkejut dan tidak sangka kejadian ini (kanak-kanak mati didera). Sebelum ini jiran saya itu 'okay' sahaja...bila jumpa dia akan tegur," kata Norhisham Syed, 53, dari Taman Paya Emas, Cheng di sini.

Norhisham berkata, dia tidak menyangka dan hanya mengetahui jirannya ditahan polis selepas disyaki mendera anak lelaki teman wanitanya yang berusia tiga tahun hingga mati pagi semalam melalui media.

Menurutnya, dia sudah lama mengenali lelaki berusia 25 tahun itu yang bekerja sendiri membaiki mesin pencetak berikutan ibu bapanya pernah tinggal di situ sebelum ini.

Katanya, sebelum kejadian dia tidak pernah melihat atau mendengar suara kanak-kanak menangis atau jirannya bertengkar di rumah itu.

"Cuma pagi semalam anak beritahu ada orang dengar jiran kami itu meminta teman wanitanya segera membawa anaknya ke hospital kerana sudah dalam keadaan hampir mati," katanya ditemui media di tempat kejadian petang tadi.

LAPORAN terdahulu Harian Metro
LAPORAN terdahulu Harian Metro

Nurhisham berkata, dia pernah bertanya hubungan lelaki itu dengan wanita terbabit dan mereka menafikan pasangan kekasih.

"Dia beri alasan wanita itu sepupunya. Wanita itu pula mendakwa dia hanya menghantar anaknya untuk dijaga lelaki itu sebelum pergi bekerja.

"Selepas ditegur saya tidak lagi melihat wanita itu sehinggalah Rabu lalu sekitar 7 malam saya perasan dia datang menaiki kereta dan membawa seorang kanak-kanak masuk ke rumah itu," katanya.

Pagi tadi Harian Metro melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun maut didera teman lelaki ibunya yang dipercayai menekan perut dan menendang mangsa sehingga menyebabkan tengkorak selain organ dalaman perut pecah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Julai 2023 @ 7:34 PM