Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Dua daripada 10 mangsa fenomena kepala air di Jeram Air Puteh, Kemaman, layak menerima pampasan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata, Perkeso sudah melengkapkan siasatan dan dua daripada 10 mangsa dalam tragedi itu adalah pencarum skim perlindungan.

"Kita dimaklumkan proses pembayaran pampasan akan diselesaikan segera," katanya kepada media selepas merasmikan Karnival Kerjaya MyFutureJobs dan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah peringkat negeri, di sini, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed dan Pengerusi Lembaga Pengarah Perkeso, Datuk Seri Subahan Kamal.

Dalam perkembangan lain, Sivakumar berkata, seramai 178,710 suri rumah berdaftar di bawah Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) sejak dilancarkan pada Oktober tahun lalu.

Daripada jumlah itu, katanya, seramai 145 suri rumah yang mengalami kecederaan membuat tuntutan perlindungan berjumlah RM350,000.

ANGGOTA pasukan penyelamat semasa operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa  tragedi kepala air di Jeram Air Putih. FOTO Ghazali Kori
ANGGOTA pasukan penyelamat semasa operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi kepala air di Jeram Air Putih. FOTO Ghazali Kori

"Terengganu adalah negeri ketiga selepas Sarawak dan Sabah apabila seramai 13,850 suri rumah mendaftar di bawah SKSSR," katanya.

Sivakumar berkata, kerajaan menyasarkan seramai 500,000 suri rumah di seluruh negara berdaftar di bawah SKSSR sebelum akhir tahun ini.

Katanya, Perkeso sudah mengadakan perbincangan dengan Kongres Kesatuan Pekerja Di dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) bagi membolehkan pekerja di sektor awam membuat potongan gaji untuk membuat caruman SKSSR.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Julai 2023 @ 1:28 PM