V.Sivakumar ketika sidang media hari ini. FOTO FAIZ ANUAR
V.Sivakumar ketika sidang media hari ini. FOTO FAIZ ANUAR
Ruwaida Md Zain


Klang: Kementerian Sumber Manusia mensasarkan sekurang-kurangnya 500,000 suri rumah mendapat perlindungan di bawah Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) sehingga penghujung tahun ini.

Menterinya, V.Sivakumar berkata, sejak Skim SKSSR dilaksanakan pada 1 Disember 2022 hingga 29 Mei lalu, seramai 176,883 orang suri rumah dilindungi SKSSR.

"Bagaimanapun, jumlah ini masih jauh dari sasaran 500,000 orang suri rumah untuk tahun ini.

"Saya menyeru semua suri rumah di bawah usia 55 tahun supaya mendapatkan perlindungan SKSSR dan bagi suami pula, saya menggesa mereka mencarum bagi pihak isteri masing-masing demi perlindungan dan kebajikan mereka.

"Saya juga amat menggalakkan pihak ketiga seperti badan-badan NGO dan syarikat swasta menaja caruman suri rumah," katanya dalam sidang media selepas menyampaikan faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kepada penerima di sini hari ini.

Sivakumar berkata, dalam tempoh itu sebanyak RM167,000 faedah SKSSR dibayar kepada suri rumah berinsurans dan keluarga mereka.

"Ini membuktikan SKSSR menjanjikan perlindungan buat suri rumah dan keluarga mereka sekiranya mereka ditimpa kemalangan, keilatan atau kematian berkaitan pengurusan rumah tangga," katanya.

Selain suri rumah katanya, pihaknya mengharapkan golongan bekerja sendiri turut membuat caruman demi kebajikan masing-masing kerana setiap yang bekerja pasti ada risiko yang tidak dapat diketahui.

"Setakat ini, jumlah yang sudah berdaftar 570,000 tetapi jumlah ini masih kurang kerana golongan bekerja sendiri sudah mencecah 1 juta di seluruh negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mei 2023 @ 11:45 PM