BERNAMA

Batu Gajah: Kementerian Sumber Manusia (KSM) sedang melihat semula kaedah lain bagi memudahkan pemberian pampasan kepada pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang ditolak lembaga perubatan.

Bagaimanapun, Menterinya V Sivakumar berkata setakat ini pihak Perkeso masih tertakluk dengan undang-undang sedia ada iaitu membayar pampasan berdasarkan peruntukan perundangan dan cadangan daripada jemaah doktor serta jemaah rayuan.

"Jemaah doktor dan jemaah rayuan yang menentukan sama ada seseorang itu mendapat pampasan atau tidak.

"Pihak Perkeso mahupun saya sendiri sebagai Menteri Sumber Manusia tidak ada kuasa untuk membuat lebih daripada apa yang termaktub dalam undang-undang," katanya pada sidang media Karnival Kerjaya MYFuture Jobs dan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah 2023 di Silverlakes Village Outlet di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan segelintir pencarum Perkeso yang membuat aduan permohonan pampasan sering ditolak Perkeso.

Sementara itu, Sivakumar berkata KSM akan menjalankan beberapa sesi libat urus dengan Perkeso sebelum membentangkan pindaan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 dalam tempoh terdekat bagi menggalakkan kaum wanita kembali bekerja.

V.SIVAKUMAR (tengah) bergambar bersama para penerima dan orang ramai pada majlis perasmian Karnival Kerjaya MYFutureJobs & Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah 2023 di Silverlakes Village Outlet Batu Gajah. FOTO L.Manimaran
V.SIVAKUMAR (tengah) bergambar bersama para penerima dan orang ramai pada majlis perasmian Karnival Kerjaya MYFutureJobs & Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah 2023 di Silverlakes Village Outlet Batu Gajah. FOTO L.Manimaran

Menurutnya pindaan akta tersebut susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan geran bersamaan 80 peratus daripada nilai gaji yang diinsuranskan pekerja bagi menggalakkan wanita yang kembali bekerja setelah bersalin.

Anwar yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat semalam, mengumumkan geran penjagaan kanak-kanak itu melibatkan faedah RM290 juta setahun yang dijangka akan menggalakkan 130,000 wanita kembali bekerja setelah tempoh bersalin.

Sivakumar berkata KSM akan menumpukan usaha kepada pengurangan pengangguran terutamanya dalam kalangan wanita, belia dan golongan rentan berikutan peruntukkan RM1.4 bilion kepada kementerian itu untuk melaksanakan program di bawah KSM termasuk Perkeso.

Mengenai Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR), Sivakumar memaklumkan seramai 142,079 orang suri rumah telah mencarum di bawah skim berkenaan sejak ia dilaksanakan pada 1 Disember hingga 20 Februari lalu.

Katanya daripada jumlah tersebut, 135,281 individu adalah suri rumah yang berdaftar dengan e-Kasih dan mencarum dengan i-Suri Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan carumannya ditaja kerajaan selama setahun.

Beliau juga memberitahu seramai 776,742 orang berjaya ditempatkan dalam pekerjaan baharu daripada hampir dua juta pencari kerja yang berdaftar dengan MYFutureJobs setakat 10 Februari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Februari 2023 @ 3:22 PM