Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Cadangan supaya pemilik Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) diberikan pinjaman dilihat tidak wajar dan membebankan pencarum.

Presiden Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaydia (PGIRM), Azmi Mohd Tahir berkata, pihaknya membidas dan membantah cadangan yang memberi beban kepada pencarum.

Katanya, cadangan dan saranan Pakar Penganalisis Ekonomi Prof Emeritus Dr Barjoyei Bardai dengan membenarkan pencarum membuat pinjaman di atas wang simpanan mereka sendiri adalah tidak wajar terutama keadaan pencarum yang tercicir dan terdesak demi kelangsungan hidup mereka.

"Untuk makluman cadangan dan saranan ini hanya membantu mereka yang mempunyai pekerjaan tetap dan konsisten mencarum setiap bulan di mana golongan ini dilihat tidak terdesak dan memerlukan.

"Bagaimana dengan nasib pencarum yang dalam kategori suri rumah, ibu tunggal, bapa tunggal, peniaga kecil dan pencarum yang sudah lama tidak mencarum di atas beberapa faktor  kesihatan kritikal, 'long Covid' ,kesukaran mendapatkan pekerjaan yang stabil atas faktor usia, tidak mempunyai pendapatan tetap yang dapat menyumbang kepada caruman.

"Justeru adakah wajar cadangan dan saranan membuat pinjaman ke atas wang simpanan mereka sendiri dan dengan apa mereka mahu sandarkan dan membayar semula pinjaman terbabit bagi kelangsungan hidup mereka yang tertekan.

"Bagaimana pula pencarum dalam kategori yang saya nyatakan mampu membayar semula pinjaman yang dibuat, adakah pinjaman yang dicadangkan ini dapat meringankan beban mereka," katanya dalam kenyataan dikeluarkan, hari ini.

Azmi berkata, jika pinjaman itu melalui bank maka sudah pasti banyak dokumen yang perlu dilampirkan terutama pengesahan majikan, slip gaji dan penyata terkini KWSP untuk justifikasi pencarum masih aktif.

Selain itu, beliau berkata, pencarum dalam kategori terbeban adalah mereka yang paling ramai mendesak dan bagaimana golongan ini hendak membayar balik pinjaman.

Katanya, pihak KWSP perlu dan wajar memberi kelonggaran dan meluluskan permintaan pencarum yang begitu memerlukan sekarang dan bukan cadangan yang menyukarkan dan merumitkan kehidupan pencarum yang dalam keadaan terdesak ini termasuk  memerlukan pengeluaran dengan kadar segera wang caruman mereka bagi membantu golongan ini keluar daripada kemelut kehidupan yang menekan dan tertekan.

"Sehubungan itu, saya bagi pihak pencarum seluruh Malaysia mendesak dan menggesa KWSP untuk pertimbangkan secara tuntas dan meluluskan desakan pencarum ini dengan segera demi kelangsungan dan kelestarian hidup pencarum," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2024 @ 2:43 PM