MUSTAFA ditemui pada program Taklimat SKSPS dan SKSSR bersama Media Mutiara di Ibu Pejabat Perkeso  Pulau Pinang. FOTO Danial Saad
MUSTAFA ditemui pada program Taklimat SKSPS dan SKSSR bersama Media Mutiara di Ibu Pejabat Perkeso Pulau Pinang. FOTO Danial Saad
Siti Aminah Mohd Yusof


Butterworth: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Pulau Pinang mendedahkan terdapat segelintir pencarum yang keliru dengan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) yang tidak memberi pampasan perlindungan membabitkan kes keganasan rumah tangga.

Pengarahnya, Mustafa Draman berkata, pihaknya kerap menerima pertanyaan terutamanya dalam kalangan kaum wanita mengenai perkara berkenaan termasuk dari beberapa individu yang dipercayai menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

"Skim itu menyediakan perlindungan keselamatan sosial kepada golongan suri rumah daripada bencana domestik dan keilatan antaranya meliputi kecederaan ketika mengurus rumah tangga.

"Tetapi disebabkan ia skim baharu ada kekaburan kepada golongan itu, jadi kita terima pertanyaan termasuk ada beberapa daripada mereka yang dipercayai menjadi mangsa penderaan dan kita sudah beri penjelasan dan nasihat sewajarnya kepada mereka," katanya.

Beliau berkata demikian selepas sesi taklimat SKSSR dan Skim Pekerjaan Sendiri kepada ahli Kelab Media Mutiara Pulau Pinang di Wisma Perkeso Pulau Pinang hari ini.

Mustafa berkata, seramai 10,544 suri rumah mendaftar SKSSR di negeri ini sehingga Februari sejak skim itu diperkenalkan pada Disember lalu dengan tujuh daripada mereka dilaporkan meninggal dunia dan layak mendapat manfaat SKSSR mengikut garis panduan yang ditetapkan.

Beliau berkata, manakala jumlah pencarum bagi individu bekerja sendiri adalah sebanyak 24,369 pada 2022 dengan pertambahan sebanyak 1,335 lagi pencarum setakat Februari tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mac 2023 @ 4:54 PM