Putrajaya: Seramai 500,000 suri rumah disasar mencarum Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) tahun depan, kata Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar.
Beliau berkata, skim itu yang bertujuan memberi perlindungan yang komprehensif kepada suri rumah sudah merekod 1,092 pendaftaran setakat seminggu pelaksanaan pada 1 Disember lalu.
"Kita akan mempergiatkan lagi kempen SKSSR dan saya bercadang untuk memberi taklimat kepada kesemua 222 Ahli Parlimen agar mereka boleh membantu mempromosikan skim ini di kawasan masing-masing," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Sivakumar berkata, inisiatif yang diperkenalkan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail pada 2018 itu terbuka kepada semua golongan wanita warga Malaysia atau pemastautin tetap yang berumur kurang daripada 55 tahun.
"Tiada had umur minimum untuk mencarum," katanya.
Menurutnya, suri rumah yang layak hanya perlu membayar caruman RM120 setahun secara 'in advance' bagi menerima Perlindungan Bencana Domestik dan Perlindungan Keilatan selama 12 bulan.
"Pendaftaran dan pembayaran caruman adalah sangat mudah, iaitu melalui portal yang disediakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso)," katanya yang memberitahu skim itu dilaksana di bawah peruntukan Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 (Akta 838) yang dikawal selia Perkeso.
Beliau berkata, mengalu-alukan caruman sukarela oleh suri rumah manakala, suami digalakkan untuk mencarum bagi pihak isteri mereka.
"pihak ketiga seperti keluarga, saudara mara dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga dibolehkan untuk mencarum bagi pihak suri rumah," katanya.