KHAIRULNIZAM Afendy. FOTO SAILING ENERGY
KHAIRULNIZAM Afendy. FOTO SAILING ENERGY
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Selepas segala dugaan dan cabaran ditempuhi dalam usahanya untuk melayakkan diri ke temasya Olimpik Paris, pelayar berpengalaman negara, Khairulnizam Afendy mengakui puas dapat merealisasikan impiannya itu.

Perjalanan atlet itu masih belum tamat dan kini dia perlu mula menyusun atur strategi terbaik kerana baki masa yang tinggal semakin suntuk.

Justeru dia mengharapkan diberi peluang untuk untuk terus menyertai perlumbaan di Eropah terutama di venue pertandingan di Paris, Marseille Marina.

"Ketika ini masih belum ada sebarang perancangan mungkin bila saya dah balik nanti akan ada perbincangan cuma saya harap dapat kembali ke Eropah dengan secepat mungkin.

"Terutama dapat berlatih di venue Olimpik kerana saya rasa akan ada beberapa siri kem latihan selain perlumbaan Coach Regatta membabitkan atlet yang sudah layak ke Olimpik di venue Olimpik itu pada sekitar Mei dan Jun ini.

"Ia adalah peluang terakhir untuk berlatih di venue Olimpik sebelum ditutup. Kita kena cepat bertindak sebab sekarang ini masa sangat suntuk semua kena cepat dan bergerak pantas," katanya.

Marseille Marina berkemungkinan menjadi kem latihan dan juga menjadi venue bagi perlumbaan 'Coach Regatta' yang akan disertai pelayar yang sudah melayakkan diri ke temasya berkenaan dan ia sesuatu yang harus disertainya bagi menyesuaikan diri dengan situasi di venue berkenaan.

Khairulnizam mengesahkan tempat ke Paris 2024 selepas menamatkan saingan kelas Single Handed Dinghy ILCA 7 di Kejohanan Last Chance Regatta di Paris sekali gus menjadi pentas Olimpik keempatnya sejak membuat penampilan sulung di London 2012, diikuti Rio 2016 dan Tokyo 2020.

Mengulas mengenai kejayaannya itu, Khairulnizam memanjatkan kesyukuran kerana dapat membuat penampilan keempat ke temasya berkenaan dan menjadi atlet ke-10 menempah tiket di Paris.

"Syukur Alhamdulillah. Sebenarnya untuk layak buat kali keempat ini bukan senang bagi saya, macam-macam dugaan.

"Untuk kejohanan akhir ini, hari pertama race pertama dah ada 'black flag' iaitu tersingkir dan kalau saya sekali lagi tersingkir bermakna peluang saya layak dah berakhir.

"Jadi sepanjang berbaki sembilan perlumbaan saya belayar, berlumba dalam keadaan yang sangat berhati-hati, bukan pada tahap yang 100 peratus, tak push kerana takut disingkirkan lagi.

"Tapi Alhamdulillah rezeki kalau Tuhan nak bagi, dia akan bagi juga," katanya.

Pelayar berusia 31 tahun itu bakal mengiringi seorang lagi rakan seperjuangannya Nur Shazrin Latif di Paris pada Julai ini selain menyertai kontinjen negara yang pada ketika turut disertai lapan lagi atlet iaitu penerjun Bertrand Rhodict Lises, Johnathan Wong (menembak), Ariana Nur Dania Mohd Zairi (memanah), Mohamad Aniq Kasdan (angkat berat), tiga pelumba berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dan pelumba lebuhraya wanita, Nur Aisyah Zubir.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2024 @ 2:31 PM