FARIHAH (kiri) mengunjungi Rohaya di Kampung Baru Bukit Gasing. FOTO Nazdy Harun
FARIHAH (kiri) mengunjungi Rohaya di Kampung Baru Bukit Gasing. FOTO Nazdy Harun
Nazdy Harun

Marang: Sepucuk surat yang diterima seorang suri rumah pada September tahun lalu mengubah kehidupannya apabila dimaklumkan layak menerima pencen bulanan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Suri rumah terbabit, Rohaya Jalil, 53, dari Kampung Baru Bukit Gasing berkata, dia menerima surat yang memaklumkan dirinya sudah dicarumkan melalui Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR).

Menurutnya yang juga peserta program e-Kasih berkata, surat itu memaklumkan dirinya dicarum oleh kerajaan dan merupakan seorang Suri Rumah Berinsuran (SRB) ketika itu.

Dia yang menghidap penyakit kencing manis sejak 20 tahun lalu berkata, pada masa sama dia turut mengalami masalah saraf kerana saluran pada pembuluh darah kaki kirinya tersumbat hingga menyebabkan kakinya itu terpaksa dipotong hingga paras atas lutut.

"Alhamdulillah, saya bersyukur kerana kerajaan sudi mencarumkan saya melalui SKSSR dan hari ini terbukti caruman itu sedikit-sebanyak membantu meringankan beban saya.

"Menyedari diri saya berinsuran menyebabkannya membuat permohonan bagi mendapatkan manfaat daripada Perkeso.

"Pihak Perkeso kemudiannya meluluskan bantuan bulanan sebanyak RM300 sebulan sehingga saya berusia 55 tahun," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini.

Hadir sama Pengarah Perkeso Terengganu Farihah Che Husin, Pengarah Jabatan Pembangunan Negeri Terengganu Abdul Kahar Abdul Latif dan Pengurusan YaPEIM Cawangan Kuala Terengganu Kartina Ahmad.

Menurutnya, sekurang-kurangnya ia dapat membantunya menampung perbelanjaan harian memandangkan suaminya, Ahmad Jusoh, 62, hanya bekerja kampung.

Katanya, dia tidak menyangka caruman yang dilakukan kerajaan itu dapat memberi manfaat buat dirinya yang kini kehilangan sebelah kaki.

"Sekiranya tidak menerima surat daripada Perkeso, saya tidak mengetahui diri adalah pencarum SRB dan layak menerima faedah apabila hilang upaya selepas melakukan pembedahan.

Sementara itu, Farihah berkata, penerima itu merupakan seorang suri rumah dan dicarumkan di bawah SKSSR mulai 1 Disember 2022 di bawah geran kerajaan untuk tempoh satu tahun perlindungan.

"Ini melayakkan penerima membuat tuntutan faedah keilatan SKSSR kerana masih memenuhi syarat-syarat utama permohonan," katanya.

Menurutnya, Rohaya juga merupakan penerima pertama membabitkan faedah keilatan SKSSR daripada Perkeso Terengganu dan bayaran pertama bermula September tahun lalu hingga ke bulan ini sebanyak RM1,379.

Katanya, penerima turut layak menerima kemudahan pemulihan yang diperlukan dari semasa ke semasa atas pengesyoran doktor dengan pembiayaan sehingga RM50,000.

Farihah berkata, statistik pendaftaran SKSSR di Terengganu dari Januari hingga Disember tahun lalu adalah seramai 14,296 SRB.

Menurutnya, mereka itu berjaya didaftarkan melalui tajaan kerajaan dan secara sukarela.

Katanya, sebanyak RM99,155 pampasan sudah dibayar kepada SRB atau waris membabitkn 54 kes bagi tempoh sama pada tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2024 @ 1:17 PM