Ahmad Hasbi


Seremban: Selain daripada senarai individu yang berdaftar dengan e-Kasih, dianggarkan hanya 6,000 suri rumah yang mencarum sendiri di bawah Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) setakat ini.

Menteri Sumber Manusia V Sivakumar berkata, jumlah itu masih rendah berbanding jumlah suri rumah yang layak di seluruh negara seramai kira-kira 3 juta orang.

"Skim ini terbuka untuk semua suri rumah. Yang e-Kasih ditaja oleh kerajaan, caruman sudah dibuat kerajaan kepada mereka yang tersenarai di bawah e-Kasih.

"Selepas dikuatkuasakan pada 1 Disember 2022, setakat ini dianggarkan 6,000 sudah berdaftar, bukan dalam senarai e-Kasih. Jumlah suri rumah yang layak berusia 55 tahun ke bawah dianggarkan seramai 3 juta orang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Penyerahan Faedah SKSSR Kepada Waris Suri Rumah Berinsurans (SRB) di Wisma Perkeso, di sini, hari ini.

Beliau berkata, susulan inisiatif kerajaan itu, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menjalankan silang data 135,357 penerima e-Kasih yang mencarum dengan i-Suri dengan data daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

"Hasilnya Perkeso mendapati seramai 37 suri rumah yang dilindungi SKSSR meninggal dunia di seluruh negara sehingga 11 Januari lalu sekali gus melayakkan waris mereka menerima manfat skim ini.

"Di bawah Akta 838, waris SRB yang meninggal dunia layak menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM2,000 manakala bayaran berkala Pencen Penakat sebanyak maksimum RM300 sebulan disediakan," katanya.

Justeru, beliau berharap agensi kerajaan, wakil rakyat dan badan bukan kerajaan (NGO) dapat sama-sama memberi pendedahan dan kesedaran mengenai faedah SKSSR.

"Kami menyasarkan seramai 500,000 suri rumah akan mencarum di bawah SKSSR pada tahun ini. Jumlah ini agak besar, namun kita berharap semua pihak mempromosikan skim ini," katanya.

- tamat

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 January 2023 @ 3:46 PM
V Sivakumar (kiri) menyerahkan nota perlindungan SKSSR kepada seorang pencarum SKSSR pada Majlis Penyerahan Faedah Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) Kepada Waris Suri Rumah Berinsurans di Wisma Perkeso Negeri Sembilan. FOTO AZRUL EDHAM
V Sivakumar (kiri) menyerahkan nota perlindungan SKSSR kepada seorang pencarum SKSSR pada Majlis Penyerahan Faedah Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) Kepada Waris Suri Rumah Berinsurans di Wisma Perkeso Negeri Sembilan. FOTO AZRUL EDHAM