Nor Fazlina Abdul Rahim dan Syaherah Mustafa


Kota Bharu: Pemilihan calon Pas yang bakal bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos depan membabitkan enam negeri akan selesai dalam tempoh dua minggu lagi.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Majlis Syura Ulama akan mengadakan mesyuarat minggu ini untuk membuat tapisan.

"Setiap Dewan Undangan Negeri (Dun), mereka menghantar sekurang-kurangnya dua hingga lima nama untuk diteliti dan kesemua nama itu akan ditapis terlebih dahulu oleh Majlis Syura Ulama.

"Majlis Syura Ulama bukan menentukan siapa calon yang akan bertanding sebaliknya mereka meneliti tentang kelayakan syarie, contohnya bukan pelaku dosa besar dan bukan individu merosakkan nama parti.

"Selepas selesai di Majlis Syura Ulama, ia akan diserah kepada Jawatankuasa Pusat dan Presiden akan memanggil kepimpinan negeri pula untuk diperhalusi. Kita jangka segala-galanya selesai dalam tempoh dua minggu," katanya ketika ditemui selepas Ceramah Mega Pakat Pertahan di sini, malam tadi.

 Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim Tuan Man

Hadir sama, Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Pengerusi Bersatu Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Nor.

Media sebelum ini melaporkan, Majlis Syura Ulama Pas dijangka melakukan tapisan calon hari ini, ketika desas-desus bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa, yang baru menyertai parti itu, mungkin tersenarai sebagai calon di Kelantan.

Dalam masa yang sama, Pas tidak mempunyai masalah untuk mempertimbangkan penyertaan bekas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar, ke dalam Pas dan menjadikannya sebagai salah seorang calon pada PRN nanti.

Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, nama Annuar adalah antara yang mungkin diletakkan dalam senarai calon yang akan dikemukakan kepada Majlis Syura Ulama Pas bagi tapisan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Julai 2023 @ 8:48 AM