Zatul Iffah Zolkiply

Marang: Bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkemungkinan tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, Pengerusi Muafakat Nasional (MN) itu juga difahamkan tidak berhasrat bertanding pada PRN kerana lebih sesuai berperanan di peringkat Pusat.

Abdul Hadi berkata, nama bekas Ahli Parlimen Ketereh itu sebelum ini dikatakan berada dalam senarai calon PAS untuk bertanding dalam PRN.

"Semalam Majlis Syura Ulama meluluskan semua calon-calon yang disenaraikan oleh PAS tapi beliau (Annuar) tak berhasrat untuk bertanding… saya difahamkan begitu," katanya

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pejabat Presiden PAS di sini hari ini.

Abdul Hadi yang juga Timbalan Pengerusi PN berkata, Annuar lebih sesuai berada di peringkat pusat dan bukan di peringkat negeri.

"Kita lebih setuju dia berperanan peringkat nasional (kerana) dia tokoh besar bukan peringkat negeri (tapi) peringkat lebih besar.

"Itu (kedudukan Annuar), kita serah kepada pemimpin PAS Kelantan," katanya.

Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang semasa mengadakan kunjungan hormat di Masjid Kampung Rusila hari ini. FOTO  GHAZALI KORI
Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang semasa mengadakan kunjungan hormat di Masjid Kampung Rusila hari ini. FOTO GHAZALI KORI

PAS sebelum ini memberi jaminan Annuar tidak akan diletakkan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk bertembung dengan anaknya jika dicalonkan mewakili parti itu.

Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin berkata, parti itu akan memastikan tiada pertembungan antara Annuar dengan anaknya yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ketereh, Afiq Amani.

Annuar juga berkata, beliau menyerahkan kepada pucuk pimpinan PAS untuk menentukan kedudukan dalam PRN di Kelantan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Julai 2023 @ 9:07 PM