TENGKU Razaleigh Hamzah. FOTO Bernama.
TENGKU Razaleigh Hamzah. FOTO Bernama.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Cadangan Amanah meletakkan veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah sebagai pengarah Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan dijangka diputuskan dalam minggu terakhir penamaan calon.

Timbalan Presiden Amanah Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, gabungan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) perlu diperkukuh supaya kolaborasi itu dapat mencipta kejutan dalam PRN di enam negeri berkenaan khususnya Kelantan dan Terengganu.

"Kita memang ada kolaborasi baik bersama BN khususnya di Kelantan dan Terengganu dengan gabungan ini perlu diperkukuh.

"Kita berharap kolaborasi antara PH dan BN dapat melakukan satu kelainan dalam pilihan raya kali ini khususnya di Kelantan dan Terengganu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan pelancaran Inisiatif Payung Rahmah bersama Jaya Grocer dan Grab Malaysia di sebuah pusat beli-belah, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah mendedahkan bekas Ahli Parlimen Gua Musang itu sudah bersetuju untuk dilantik sebagai pengarah pilihan raya bagi memimpin gabungan PH-BN Kelantan menghadapi PRN.

Bagaimanapun, ia masih belum mendapat sebarang kata putus daripada kepimpinan Umno.

Mengulas mengenai calon yang akan dipertandingkan pada PRN di enam negeri terbabit, Salahuddin berkata, beliau akan mempengerusikan mesyuarat berkaitan perkara itu minggu depan untuk dimuktamadkan.

"Insya-Allah, kita boleh putuskan nama-nama calon yang akan bertanding dalam PRN di enam negeri.

"Saya rasa tiada masalah besar untuk Amanah mengemukakan calon-calon terbaik," katanya.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Ogos sebagai tarikh pengundian dalam PRN yang dijalankan serentak di enam negeri iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh memaklumkan tarikh penamaan calon di keenam-enam negeri itu pula ditetapkan pada 29 Julai, manakala pengundian awal pada 8 Ogos.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Julai 2023 @ 1:08 PM