KEADAAN trafik sesak apabila penyokong Perikatan Nasional (PN) berarak menuju ke Pusat Penamaan Calon bagi Parlimen Gombak sempena Hari Penamaan Calon Pilihanraya Negeri (PRN), Selangor di Dewan SMK Sungai Pusu, Gombak. FOTO Aizuddin Saad
KEADAAN trafik sesak apabila penyokong Perikatan Nasional (PN) berarak menuju ke Pusat Penamaan Calon bagi Parlimen Gombak sempena Hari Penamaan Calon Pilihanraya Negeri (PRN), Selangor di Dewan SMK Sungai Pusu, Gombak. FOTO Aizuddin Saad
BERNAMA

Kuala Lumpur: Sebanyak 173 pusat penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Pulau Pinang, ditutup pada 10 pagi hari ini.

Turut ditutup adalah pusat penamaan calon bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu di Dewan Banquet, Menara Majlis Bandaraya Kuala Terengganu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRN dan PRK berkenaan dijalankan serentak iaitu pada 12 Ogos manakala pengundian awal 8 Ogos.

Tempoh berkempen pula ditetapkan 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon bertanding hari ini sehingga 11.59 malam 11 Ogos.

PRN enam negeri itu diadakan selepas Dewan Undangan Negeri Kelantan yang mempunyai 45 kerusi dibubarkan pada 22 Jun diikuti Selangor yang mempunyai 56 kerusi pada 23 Jun manakala Pulau Pinang (40 DUN), Kedah (36 DUN), dan Terengganu (32 DUN) dibubarkan pada 28 Jun dan Negeri Sembilan yang mempunyai 36 kerusi DUN pada 1 Julai.

Enam negeri berkenaan tidak membubarkan DUN mereka bersekali dengan pembubaran Parlimen pada 10 Oktober lalu bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November.

PRK Parlimen Kuala Terengganu pula diadakan apabila kerusi itu diisytihar kosong berikutan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 27 Jun membatalkan kemenangan Datuk Ahmad Amzad Hashim dari PAS pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Julai 2023 @ 10:14 AM