Syafil Syazwan Jefri


Putrajaya : "Mungkin salah faham. Itu yang lebih sesuai." Ini penjelasan pendakwah, Ustaz Don Daniyal, 40, mengenai dia didakwa menggunakan hadis tanpa sumber, sekali gus direhatkan terus dari program Salam Baitullah musim ke-16 di RTM.

Ustaz Don berkata, dia patuh dengan keputusan RTM untuk merehatkannya sekali lagi selepas sempat kembali bersiaran selama dua episod pada Rabu dan Khamis.

"Hari ini, berlaku sekali lagi muat naik di X tanpa sebarang kenyataan rasmi. Saya hormati dan direhatkan sekali lagi. Timbul persoalan, kenapa perlu direhatkan?

"Kalau diikutkan dari isi hantaran di X itu, dikatakan saya buat kontroversi sekali lagi dengan istilah menggunakan hadis tanpa sumber. Sekali lagi, saya direhatkan.

"Sebagai seorang yang berpegang dengan ajaran yang diajar oleh Ahli Sunnah Waljamaah, selama perkara itu tidak bercanggah dengan agama, direhatkan tidak bercanggah dengan agama. Maka, saya patuh," katanya di sidang media, di sini, malam tadi.

Dia juga mendapat tahu mengenai perkara itu pada sebelah pagi selepas memberikan rujukan kepada salah seorang individu dalam produksi.

"Wujud satu pihak yang cuba buat spekulasi ke atas saya, maknanya, sekejap sangat daripada program siaran langsung itu, terus dah muncul dan dah bising dah.

"Encik Wan Lokman tunjuk kepada saya dan saya terus secara langsung berikan kitab yang saya rujuk. Kemudian, terus hantar kepada pihak atasan. Kemudian, saya fikir dah selesai. Pagi tadi, saya dapat tahu kena rehat lagi," katanya.

Ditanya mengenai dakwaan menggunakan hadis palsu dalam episod semalam, Don berkata, dia mendokumentasikan kitab yang dirujuknya.

"Apabila semalam keluar perkara ini, benda pertama yang semua orang terlepas pandang, semalam saya tak sebut pun hadis. Benda itu dimanipulasi sebabkan saya baru berjumpa dengan pihak berkuasa. Di sana, mereka beri saya garis panduan.

"Benda paling mereka tekankan, semua pendakwah berhati-hati dalam menggunakan perkataan dan jangan letak sewenang-wenangnya kepada Nabi. Saya ikut panduan itu.

"Semalam, saya kata ada ulama yang menulis dalam kitab mereka. Jadi, kalau ulama, kita kena tengoklah ulama yang mana. Alhamdulillah, semalam, ulama yang saya gunakan kitabnya, saya dokumentasikan mengenainya sebab semalam dalam segmen Rehlah Haramain, ada perkongsian mengenai Perkuburan Ma'la, di situ ada makamnya," katanya.

Menurut Don, kitab yang dipetik itu bukanlah daripada ulama sebarangan.

"Syekh Muhammad Nawawi Al-Bantani. Dia orang Nusantara dan Imam Masjidil Haram. Bila ada dokumentasi mengenainya dan kebetulan disebut kitab yang dikarangnya semalam, mulalah timbul.

"Jadi, kalaulah timbul isu, pertama, Ustaz Don tidak berhati-hati dalam mengeluarkan hadis tanpa sumber, takkan kita nak dikatakan Syekh Muhammad Nawawi Al-Bantani juga tak ada sumber? Mana boleh dikatakan begitu.

"Kena pula, kitabnya, Tanqihul Qoul menghuraikan (syarah) kitab besar lagi satu, Lubabul Hadits, Imam Suyuti. Jadi, kalaulah kata tak berhati-hati, maka Iman Suyuti yang kena jelaskan.

"Tiba-tiba, orang gunakan istilah saya tak ada sumber dan semua orang pun dengar, dan begitu senang dimanipulasi. Itu apa yang boleh saya huraikan," katanya.

Don juga memaafkan semua pihak kerana menurutnya, ujian ini hanyalah ujian kecil jika dibandingkan dengan ujian kepada mereka terdahulu contohnya, Imam Syafie'.

"Saya memaafkan semua orang, sebab malu saya kepada Imam Syafie sebab Imam Syafie memaafkan semua orang yang menyebabkan beliau dipenjara.

"Saya baru sedikit sahaja, direhatkan. Tidak ada terguris di hati kerana saya mengasihi semua umat Nabi Muhammad SAW," katanya.

Mengadakan sesi sidang media di restorannya di Putrajaya, Don juga menjelaskan bahawa sesi ini penting untuk membersihkan namanya di samping menjelaskan situasi yang berlaku.

"Jadi, hari ini sebagai pendakwah, mempunyai nama dan kredibiliti yang baik sangat penting. Sebab itu saya buat sidang media ini. Ya lah, nanti kalau anak-anak anda semua nak belajar dengan saya, misalnya, macam mana nak belajar kalau orang cakap saya menyampaikan benda yang tidak betul?

"Saya atur satu persatu jawapan yang diplomasi tanpa memburukkan mana-mana pihak," katanya.

Terdahulu, nama Don digugurkan daripada senarai pengacara Salam Baitullah sebanyak dua kali atas dakwaan menggunakan hadis yang tidak ada sumber.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2024 @ 1:31 AM