Dr Noor Nirwandy Mat Noordin
Dr Noor Nirwandy Mat Noordin
Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Faktor rakyat yang mahukan kematangan dan kestabilan politik akan menjadi kelebihan kepada sesebuah parti meraih kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, 12 Ogos ini.

Penganalisis Keselamatan dan Politik Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, gabungan parti mana yang mampu memenuhi kemahuan rakyat itu akan menjadi penentu kemenangan pada PRN itu nanti.

"Selangor menyaksikan banyak kerusi panas iaitu 33 daripada 34 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) majoritinya pengundi Melayu, maka kerusi ini akan jadi penentu dalam memastikan kemenangan parti termasuk Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

"Selain itu, gelombang daripada Perikatan Nasional (PN) serta kematangan dan kestabilan politik yang dimahukan rakyat akan menentukan setakat manakah keadaan itu akan berlaku dalam PRN, tetapi saya masih jangkakan faktor ini akan memberikan sedikit kelebihan kepada parti komponen Kerajaan Perpaduan dalam PRN ini.

"Ini disokong dengan dua kajian termasuk dijalankan Institut Darul Ehsan (IDE) di Selangor, jelas menunjukkan masyarakat lebih cenderung atau senang dengan pentadbiran diketuai Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari ketika ini yang akan memberi kelebihan khususnya dari segi tata kelola dan kestabilan politik," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Menurutnya, parti gabungan Kerajaan Perpaduan juga mempunyai kelebihan bagi mengekalkan kerusi di Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

"Macam isu DUN Kota, mereka juga hendak bertanding di DUN Lenggeng itu hanya isu kecil dan saya berasakan tak banyak jejaskan kemampuan PH dan BN untuk mendapat sedikit kelebihan di Negeri Sembilan.

"Pulau Pinang mungkin ada sedikit tentangan daripada PN tetapi masih tiada masalah sangat cuma di Kelantan dan Terengganu agak sukar kita menilai kemampuan Kerajaan Perpaduan untuk mengambil alih dua negeri itu.

"Di Kedah, mungkin ada satu tentangan diberikan Kerajaan Perpaduan berdasarkan kemahuan masyarakat," katanya.

Dari aspek pemilihan calon, beliau menyifatkan, calon mewakili komponen PH dan BN seimbang termasuk mengambil kira elemen calon popular rakyat dengan meletakkan seorang artis sebagai calon.

"Saya lebih nampak BN ini banyak calon 'heavyweight' bertanding semula perkara sama juga dilihat berlaku dalam calon di kalangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) selain mengetengahkan calon artis.

"Jadi tak banyak kejutan dari segi pemilihan calon memang sudah dijangka tetapi mungkin berlaku sedikit pertembungan dikatakan calon milik PKR dan Amanah diberikan kepada BN mungkin satu dua kerusi di Terengganu dan Lenggeng," katanya.

Malam tadi, PKR mengumumkan 58 calon akan mewakili parti itu pada PRN ini dengan 20 calon bertanding di Selangor, enam di Negeri Sembilan, manakala 13 calon di Pulau Pinang selain 10 calon di Kedah serta enam di Kelantan dan tiga di Terengganu.

Jumaat lalu, BN mengumumkan 107 calon akan bertanding pada PRN itu nanti dengan menampilkan 62 peratus muka baharu, 18 peratus penyandang DUN dan calon pernah bertanding (20 peratus).

Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan pada 12 Ogos, penamaan calon pada 29 Julai, manakala pengundian awal, 8 Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Julai 2023 @ 4:36 PM