SARIFUDIN memberi nasihat kepada pengguna jalan raya yang ditahan sempena Operasi Hormat Undang-Undang Jalan Raya di sekitar Kuala Lumpur. FOTO Eizairi Shamsudin
SARIFUDIN memberi nasihat kepada pengguna jalan raya yang ditahan sempena Operasi Hormat Undang-Undang Jalan Raya di sekitar Kuala Lumpur. FOTO Eizairi Shamsudin
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Padah tunggang motosikal tanpa lesen seorang lelaki Pakistan dalam perjalanan menghantar tudung ditahan dalam Operasi Hormat Undang-undang Jalan Raya di Jalan Pahang, di sini, hari ini.

Ketika ditahan, lelaki berusia 50-an itu dipercayai dalam perjalanan dari Chow Kit untuk menghantar tudung ke sebuah kedai di sekitar Masjid India, di sini sekitar 3.45 petang.

"Saya masuk Malaysia tiga tahun lalu untuk bekerja menyara dua isteri dan enam anak di kampung. Saya bekerja di kedai tudung milik kawan dengan gaji RM1,800 sebulan di sekitar Chow Kit.

"Motosikal ini saya beli sejak setahun lalu daripada seorang kawan senegara yang dah balik ke Pakistan," katanya ketika ditemui di Balai Trafik Tun Hs Lee, di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, 36 warga asing ditahan kerana menunggang motosikal tanpa lesen.

Katanya, kesemua individu terbabit ditahan dalam Operasi Hormat Undang-undang Jalan Raya Polis Kuala Lumpur yang dilaksanakan sejak Isnin lalu.

"Setakat ini lebih 7,000 saman kita keluarkan sepanjang operasi ini dijalankan.

"Tujuh ribu saman ini kebanyakannya membabitkan kesalahan halangan lalu lintas termasuk parkir dan kesalahan (berhenti) melepasi garisan putih di lampu isyarat," katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, pihaknya mengesan ramai warga asing yang menunggang motosikal dipinjam atau dibeli daripada warga tempatan sendiri.

Sehubungan, itu Sarifudin mengingatkan orang awam bahawa perbuatan membenarkan individu tanpa lesen menggunakan kenderaan mereka adalah salah di sisi undang-undang.

"Motosikal mereka ini ada yang disewa atau dijual oleh warga tempatan merupakan kesalahan di bawah Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Kita akan panggil tuan punya kenderaan san keluarkan saman terhadap mereka manakala warga asing terbabit akan dituduh di mahkamah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Julai 2023 @ 6:28 PM