SYED Saleh bersama Muhammed Amin   mempengerusikan mesyuarat penyelarasan operasi Masya'ir antara Tabung Haji dan Muassasah Tawafa Asia Tenggara.
SYED Saleh bersama Muhammed Amin mempengerusikan mesyuarat penyelarasan operasi Masya'ir antara Tabung Haji dan Muassasah Tawafa Asia Tenggara.
Safar Ahmad

Makkah: Jemaah haji Malaysia akan mula bergerak ke Arafah selepas waktu Zuhur pada 10 September ini dan ibadat wukuf akan bermula selepas gelincir matahari hari berikutnya.

Ini berikutan pengumuman kerajaan Arab Saudi yang menetapkan 1 Zulhijjah jatuh pada 3 September dan Hari Wukuf pada 11 September.

Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, pergerakan akan dilakukan dalam tiga kali perjalanan.

Katanya, kelmarin pihak Lembaga Tabung Haji (TH) juga mengadakan mesyuarat penyelarasan operasi Masya’ir bersama Muassasah Tawafa Asia Tenggara mengenai persiapan yang perlu dilakukan.

“Persiapan kini rancak dilakukan bersama pihak muassasah di Arafah, Mudzalifah dan Mina.

“Mesyuarat yang kita adakan melihat pelbagai aspek dari segi pergerakan jemaah haji, jumlah bas, waktu bergerak dan sebagainya.

“Selain itu, kita juga membincangkan persiapan kemudahan seperti khemah, bekalan elektrik dan air, kemudahan tandas dan sebagainya ketika di Arafah dan Mina selain urusan pengedaran makanan serta aspek keselamatan dan kebajikan jemaah.

“Ia turut membabitkan kemudahan ketika bermabit atau bermalam di Mudzalifah dan urusan melontar ketika di Mina selama tiga hari,” katanya.

Hadir sama, Pengerusi Muassasah Tawafa Asia Tenggara, Muhammed Amin Hassan Andarqiri.

Sementara itu, Muhammed Amin berkata, ketika ini, pihaknya dalam proses memasang sistem pendawaian elektrik pada khemah penginapan di Arafah dan Mina.

Bagaimanapun, katanya, bekalan elektrik hanya akan disambungkan pada Rabu ini.

“Dari segi sajian makanan dan perkakas berkaitan juga sudah dihantar ke stor di Arafah dan Mina, begitu juga dengan bekalan air minuman juga sudah di hantar.

“Permaidani untuk kegunaan di khemah juga sudah tersedia dan akan diedarkan kepada pihak maktab penginapan tidak lama lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 September 2016 @ 5:13 AM