Operasi menyelamatkan 86 lembu fidlot milik seorang penternak di Kampung Lubuk Gitan, di sini, 1 Januari lalu selepas kandang lembu berkenaan dinaiki air. FOTO IHSAN JABATAN VETERINAR.
Operasi menyelamatkan 86 lembu fidlot milik seorang penternak di Kampung Lubuk Gitan, di sini, 1 Januari lalu selepas kandang lembu berkenaan dinaiki air. FOTO IHSAN JABATAN VETERINAR.
Ahmad Hasbi


Kuala Pilah: Bukan hanya mengharapkan pasukan penyelamat malah pihak Jabatan Veterinar turut turun padang membantu mangsa banjir memindahkan ternakan ke kawasan selamat.

Dalam kejadian Sabtu lalu, Jabatan Veterinar Negeri Sembilan bersama Persatuan Usahawan Ruminan Negeri Sembilan (PURNS) berjaya memindahkan sebanyak 86 lembu yang menjadi 'mangsa' banjir di Kampung Lubuk Gitan, di sini.

Pengarah Jabatan Veterinar Negeri Sembilan, Dr Redzuan Ibrahim berkata, pegawainya bersama wakil dari PURNS terpaksa meredah air setinggi paras paha untuk menghalau lembu supaya masuk ke lori.

"Hanif Ismail menternak empat jenis haiwan itu, kambing termasuk biri-biri, kerbau, lembu bukan fidlot dan lembu fidlot. Pada hari kejadian kawasan kandangnya dinaiki air sejak pagi sebelum dia memaklumkan kepada kami kira-kira jam 3 petang.

"Hanya lembu fidlot sebanyak 86 ekor perlu dialihkan memandangkan lembu bukan fidlot dan kerbau sudah dilepaskan manakala kandang kambing lebih tinggi. Selepas berbincang kami memutuskan untuk memindahkan haiwan berkenaan ke tempat selamat," katanya ketika dihubungi.

Redzuan berkata, dengan bantuan PURNS, pihaknya menggunakan lori muatan 3 tan untuk memindahkan lembu fidlot terbabit ke dua lokasi iaitu di Kampung Ulu Gentam dan di Pusat Penyembelihan Kuala Pilah.

"Operasi bermula kira-kira jam 7.30 malam dan hanya tamat pada jam 11.30 malam. Kami terpaksa berulang-alik sebanyak tiga kali untuk memindahkan semua lembu kerana lori hanya bermuatan 3 tan sahaja," katanya.

Beliau berkata, lembu fidlot memang diternak di dalam kandang dan tidak boleh dilepaskan untuk tujuan pengeluaran lembu pedaging melalui peningkatan berat badan dengan memberi makanan bermutu.

"Kami juga difahamkan, lembu berkenaan sudah terendam di dalam air sejak pagi. Jika dibiarkan ia boleh menjejaskan kesihatan lembu sama ada diserang penyakit, lemas atau mengalami tekanan.

"Pihak PURNS juga membekalkan makanan dedak kepada haiwan berkenaan sepanjang ia berada di pusat pemindahan sebelum pihak kami meneruskan pada hari berikutnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 January 2022 @ 6:07 PM