Menteri Ekonomi Rafizi Ramli ketika sidang media mengenai Indeks Harga Pengguna Bagi Bulan Mei 2023 di kementreriannya hari ini. FOTO BERNAMA
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli ketika sidang media mengenai Indeks Harga Pengguna Bagi Bulan Mei 2023 di kementreriannya hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Putrajaya: Kertas dasar mengenai Dasar Gaji Progresif akan dibentang kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pada Ogos depan, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Beliau berkata dasar itu, yang dibangunkan oleh Kementerian Ekonomi dengan Kementerian Sumber Manusia, bertujuan memastikan pertumbuhan gaji rakyat lebih sekata serta inklusif dan mendorong ke arah penjanaan pendapatan lebih baik.

"Ada satu aspek penting iaitu walaupun kerajaan tumpu 100 peratus soal harga barang, tanpa usaha dan inisiatif untuk naikkan gaji rakyat secara setimpal maka masyarakat akan terus bergelumang dengan persoalan kos sara hidup," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Rafizi berkata, fokus kepada pertumbuhan gaji rakyat akan menjadi tema utama dalam perancangan ekonomi negara di bawah Rancangan Malaysia akan datang selain membantu menangani kos sara hidup rakyat.

Sementara itu dalam usaha memastikan kelangsungan bekalan makanan, beliau berkata, Kementerian Ekonomi melalui Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) kini dalam proses pelaksanaan projek pertanian dan pemakanan di tanah milik kerajaan di seluruh negara dengan jumlah keluasan keseluruhan 404.7 hektar (1,000 ekar).

Tanpa memperinci kos keseluruhan projek di bawah Inisiatif Usahawan Tani (Intan) itu, Rafizi berkata, berkata usaha tersebut secara tidak langsung akan dapat membantu golongan B40 untuk terlibat dalam pertanian.

Beliau berkata, selain penyediaan tanah di bawah model Intan, kerajaan juga akan membantu dalam menyediakan infrastruktur pembinaan contohnya rumah hijau dan pembersihan tanah.

"Ia dijangka memanfaatkan 4,000 penerima kelak dengan nisbah suku ekar atau setengah ekar bagi setiap orang," katanya sambil menambah model Intan turut melibatkan kerjasama agensi pertanian persekutuan dan negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Jun 2023 @ 4:28 PM