RAFIZI ketika sidang media pada Majlis Pengumuman Penemuan  Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah 2022 di Jabatan Perangkaan Malaysia hari ini. FOTO Bernama
RAFIZI ketika sidang media pada Majlis Pengumuman Penemuan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah 2022 di Jabatan Perangkaan Malaysia hari ini. FOTO Bernama
BERNAMA

Putrajaya: Dasar atau model gaji progresif akan dibentang kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) 7 Ogos ini bagi mendapatkan keputusan dasar sebelum ia boleh dilaksanakan, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Bercakap kepada media selepas Majlis Pengumuman Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah dan Perbelanjaan Isi Rumah 2022 di sini hari ini, beliau berkata, perbincangan antara kementerian terbabit sudah selesai.

"Apabila keputusan dasar telah diperoleh maka kita boleh umumkan beberapa hala tuju yang utama mengenai gaji progresif," katanya.

Rafizi berkata antara cadangan awal yang dipertimbang ialah kertas putih mengenai kedudukan gaji rakyat dibentang di Parlimen pada September depan manakala libat urus dan perbincangan antara pihak majikan dan pekerja dimulakan.

Beliau berkata, walaupun menyedari ada kebimbangan di pihak majikan bahawa pelaksanaan dasar gaji progresif akan menyebabkan kos operasi perniagaan meningkat, kerajaan yakin perkara itu akan dapat diatasi.

"Saya yakin apabila model atau dasar gaji progresif itu kita berjaya dapat keputusannya dan diumumkan konsepnya, majikan juga akan turut gembira.

"Pekerja mahupun majikan akan menerima baik model gaji progresif yang akan kita cadangkan selepas dapat keputusan dasar," katanya.

Sebelum ini Rafizi berkata, dasar atau model gaji progresif akan dibangunkan secara bersama membabitkan Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta Kementerian Sumber Manusia.

Sistem gaji progresif adalah peralihan daripada model pemberian upah minimum kepada kenaikan gaji secara berperingkat dan berfasa supaya setanding dengan pertumbuhan ekonomi negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Julai 2023 @ 5:38 PM