TANGKAP layar video tular di media sosial. FOTO tular
TANGKAP layar video tular di media sosial. FOTO tular
Safeek Affendy Razali


Kuala Lumpur: Polis sedang mengesan seorang penunggang motosikal yang terbabit dalam kemalangan jalan raya di Lebuhraya Sprint, Petaling Jaya, petang semalam.

Berdasarkan satu rakaman video yang tular hari ini, sebuah kereta jenis Volvo melanggar motosikal berkenaan kemudian dirakam meninggalkan lokasi kejadian manakala penunggang motosikal terjatuh dan terbaring atas jalan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pemandu kereta Volvo itu yang juga seorang warga tempatan sudah tampil membuat laporan polis pada 12.02 tengah hari tadi.

"Pada masa ini pemandu Volvo sudah diambil keterangan manakala polis masih mengesan penunggang motosikal yang terbabit dalam kejadian sama.

"Penunggang motosikal diminta untuk tampil membuat laporan polis segera untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Fakhrudin turut meminta orang ramai yang melihat atau berada di tempat kejadian untuk tampil ke Balai Polis berhampiran atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Navalan Ravindran di talian 0142536820 bagi membantu siasatan.

Polis ingin mengingatkan serta memohon kepada semua pengguna jalan raya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya bagi mengelak sebarang kejadian kemalangan.

Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemandu yang memandu secara berbahaya dan akan mengambil tindakan tegas kepada mereka yang melanggar undang-undang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Jun 2023 @ 7:32 PM