RAKAMAN tular di media sosial. FOTO tular
RAKAMAN tular di media sosial. FOTO tular
Nurul Hidayah Bahaudin


Petaling Jaya: Polis sedang mengesan pemandu kereta yang terbabit dalam kemalangan dengan sebuah motosikal di persimpangan lampu isyarat Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) susur masuk ke SS 2/55, dekat sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya mengesan satu rakaman video berkaitan kejadian itu yang dimuat naik pemilik akaun Twitter jam 9.30 malam tadi.

"Rakaman video berdurasi satu minit itu menunjukkan berlaku kemalangan membabitkan dua kenderaan iaitu sebuah motosikal Yamaha dengan Proton Satria di lokasi berkenaan.

"Hasil siasatan dilakukan mendapati kemalangan berlaku jam 7.50 pagi pada 10 Mei lalu dengan laporan polis sudah dibuat oleh penunggang motosikal terbabit.

"Justeru, kita sedang mengesan pemandu kereta terbabit dalam kemalangan berkenaan untuk siasatan lanjut mengikut 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor R Navalan di talian 014-2536820 untuk tindakan lanjut.

"Orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi undang-undang jalan raya bagi mengelak berlakunya kemalangan.

"Pihak polis tidak akan berkompromi kepada mana-mana pemandu yang memandu secara berbahaya dan akan mengambil tindakan tegas kepada mereka yang melanggar undang-undang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mei 2023 @ 12:32 PM