PENGHANTAR makanan maut selepas bertembung dengan sebuah kereta. Foto Ihsan Polis
PENGHANTAR makanan maut selepas bertembung dengan sebuah kereta. Foto Ihsan Polis
Muhaamad Hafis Nawawi


Petaling Jaya: Pekerja penghantar makanan maut selepas motosikal ditunggangnya secara melawan arus bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Tanjung, Bandar Utama di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan itu pada 8.53 malam membabitkan motosikal Yamaha Y15ZR dan kereta Honda Accord.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku pada 8.45 malam apabila penunggang motosikal menunggang secara lawan arus lalu bertembung dengan kereta terbabit.

"Akibat kemalangan itu mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti punca dan sebab kematian," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya, sesiapa yang melihat atau berada di tempat kejadian, mohon tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan pegawai penyiasat trafik Inspektor R Navalan di talian 014-2536820 bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Februari 2022 @ 10:30 AM