MOTOSIKAL ditunggang dua beradik yang terbabit dalam kemalangan di Bulatan Lapangan Terbang Subang, Petaling Jaya, semalam. FOTO ihsan PDRM
MOTOSIKAL ditunggang dua beradik yang terbabit dalam kemalangan di Bulatan Lapangan Terbang Subang, Petaling Jaya, semalam. FOTO ihsan PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin


Petaling Jaya: Seorang remaja lelaki maut, manakala abangnya cedera selepas motosikal dinaiki mereka terbabas dan melanggar batu penghadang di Bulatan Lapangan Terbang Subang, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan itu jam 10.54 malam tadi.

"Siasatan awal dilakukan mendapati kejadian itu berlaku jam 10.10 malam apabila motosikal Honda Future ditunggang mangsa berusia 17 tahun itu terbabas lalu melanggar batu penghadang di tepi jalan terbabit.

"Pelanggaran itu menyebabkan penunggang motosikal terbabit disahkan maut di lokasi kejadian, manakala abangnya yang juga pembonceng cedera pada tangan kanan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata, abang mangsa yang patah tangan kanan kini sedang menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh.

"Siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan sebab kematian dijalankan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor R Navalan di talian 0142536820 bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 September 2022 @ 9:15 PM