Ahmad Ismail


Segamat:" Saya terkilan kerana tidak sempat sambut Aidiladha bersama. Namun kami sekeluarga reda dengan pemergiannya," kata Noraziah Bidin, 42, kakak kepada Allahyarham Koperal Udara (U) Mohd Syuib Bidin.

Noraziah, berkata kali terakhir berjumpa arwah adiknya itu beberapa bulan lalu dan memberitahu dia sibuk dan tugasan dan latihan.

Katanya, arwah dikenali sebagai seorang yang periang, baik hati dan sering membantu keluarga dari pelbagai sudut.

"Arwah dan keluarganya sebenarnya sudah kemas pakaian sejak beberapa hari lalu untuk pulang ke kampung di Sik, Kedah menyambut Aidiladha pada Khamis ini.

"Dia seperti sangat gembira untuk pulang sambut raya di kampung bersama keluarga," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Daerah Segamat (HDS) di sini, hari ini.

Katanya, jenazah dibawa ke surau HDS kira-kira jam 8 pagi untuk dimandi dan dikafankan sebelum disolatkan.

Jenazah kemudian dibawa ke Kem Sirajuddin, Gemas menaiki kenderaan jenazah Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebelum diterbangkan menaiki helikopter TUDM ke Kemaman, Terengganu untuk dikebumikan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Jun 2023 @ 11:24 AM