Allahyarham Koperal Udara Syuib Bidin
Allahyarham Koperal Udara Syuib Bidin
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Jenazah jurulatih Tentera Udara Malaysia (TUDM) yang maut ketika menjalani latihan menembak senjata bantuan dan bom lempar di Lapang Sasar Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan, semalam, akan dikebumikan di Kemaman, Terengganu.

Jenazah Koperal Udara Mohd Syuib Bidin, 33 dibawa menggunakan helikopter EC 725 milik TUDM dari Hospital Segamat ke Kolej Vokasional Kemaman kira-kira jam 10 pagi hari ini.

Helikopter itu diterbangkan dari Kem 4 Rejimen Artileri Diraja Gemas ke kolej berkenaan selepas menerima panggilan dari Markas Wilayah Udara 1 (TUDM Kuantan) jam 12.36 tengah malam tadi.

Jenazah dirancang dibawa pulang ke kampung halaman isterinya, Nur Faziera Izam di Kampung Lot Sri Jaya, Binjai, Kemaman dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Tok Kapur, Kemaman.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan dua anggota TUDM maut selepas bom lempar meletup ketika sesi latihan di Kem Syed Sirajuddin, semalam.

Difahamkan seorang jurulatih lagi parah dalam kejadian jam 12 tengah hari itu ketika mereka menjalani latihan menembak senjata dan bom lempar di tapak latihan kem terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Jun 2023 @ 11:21 AM