MOHAMAD pada Majlis Perasmian karnival Pendidikan ATM di Auditorium Wisma Pertahanan. FOTO Eizairi Shamsudin.
MOHAMAD pada Majlis Perasmian karnival Pendidikan ATM di Auditorium Wisma Pertahanan. FOTO Eizairi Shamsudin.
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Kementerian Pertahanan (Mindef) sedang menunggu laporan kes letupan bom yang mengorbankan dua anggota semasa latihan di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, di Negeri Sembilan, 25 Jun lalu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, siasatan terperinci dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan jawatankuasa dalaman Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

"Pihak polis bersama TUDM sedang menyiasat kejadian itu bersama. Jadi adalah lebih baik untuk kita menunggu laporan jawatankuasa siasatan dalaman berkenaan.

"Kejadian malang itu memang tragis. Bagi kami apabila hilang satu jiwa bagi Angkatan Tentera ia adalah tragedi bagi kami," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Karnival Pendidikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Penyampaian Dermasiswa Premium dan Sumbangan Komputer Riba, di sini, hari ini.

Sebelum ini media melaporkan dua maut membabitkan anggota TUDM yang sedang menjalani Latihan Menembak Senjata Bantuan dan Bom Lempar Penuntut Kursus Peningkatan Pembantu Pertahanan Kelas 1 (KPPP Kls 1) Siri 78/23 yang berlaku di Tapak Latihan Grenade Asas, di lapang sasar Kem Syed Sirajuddin, Gemas, pada 25 Jun lalu.

Penuntut yang meninggal dunia di lokasi kejadian ialah Laskar Udara 1, Mohd Iqmal Masdi, 22; manakala, jurulatih yang disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Segamat ialah Koperal Udara Mohd Syuib Bidin, 33.

TUDM dalam kenyataan Ahad lalu, memaklumkan pihaknya akan menubuhkan Lembaga Penyiasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Julai 2023 @ 5:45 PM