Ahmad Hasbi


Nilai: Jenazah Laskar Udara I Mohd Iqmal Masdi, 22, yang maut dipercayai terkena bom lempar meletup ketika latihan, di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, dekat Tampin, tengah hari semalam, selamat dikebumikan kira-kira 6. 30 petang tadi.

Terdahulu, jenazah tiba di kediaman keluarganya di Kampung Rawa Hulu, Lenggeng, dekat sini, kira-kira 5 petang dari Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban.

Jenazah kemudiannya disembahyangkan sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Kampung Rawa kira-kira 5.30 petang dan dikebumikan dengan penuh istiadat ketenteraan.

Kira-kira 500 anggota dan pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari kem berdekatan termasuk dari Kementerian Pertahanan di ibu negara berada di tanah perkuburan itu bagi memberi penghormatan terakhir.

Turut hadir Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hassan dan Timbalannya Adly Zahari yang menyampaikan ucapan takziah kepada ahli keluarga anggota berkenaan.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, polis akan merakam keterangan semua individu yang berada di lokasi kejadian yang turut mengorbankan seorang jurulatih itu.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, soal siasat itu bagi melengkapkan siasatan polis dan setakat ini kes masih diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR).

"Siasatan dari pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) membabitkan kes mati mengejut, namun kita difahamkan pihak TUDM juga menjalankan siasatan untuk mengenalpasti punca kejadian.

"Kita akan rakam kenyataan semua (individu) yang berada di lokasi kejadian," katanya, hari ini.

TUDM dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan sudah menghubungi waris dan akan menubuhkan satu Lembaga Penyiasatan berhubung kejadian bom lempar itu serta menyerahkan kepada PDRM untuk menjalankan siasatan.

Dalam insiden itu, dua maut membabitkan anggota TUDM yang sedang menjalani Latihan Menembak Senjata Bantuan dan Bom Lempar Penuntut Kursus Peningkatan Pembantu Pertahanan Kelas 1 (KPPP Kls 1) Siri 78/23 yang berlaku di Tapak Latihan Grenade Asas, di lapang sasar Kem Syed Sirajuddin, Gemas, semalam

Penuntut yang meninggal dunia di lokasi kejadian Laskar Udara 1, Mohd Iqmal Masdi, 22; manakala, jurulatih yang disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Segamat ialah Koperal Udara Mohd Syuib Bidin, 33.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Jun 2023 @ 6:51 PM