KENDERAAN yang merempuh Jamaluddin remuk di bahagian sisi.
KENDERAAN yang merempuh Jamaluddin remuk di bahagian sisi.

Segamat: Seorang guru Sekolah Agama Felda Moakil di sini meninggal dunia manakala anak lelakinya berusia sembilan tahun patah kaki kanan selepas motosikal ditunggang dirempuh sebuah kereta di Jalan Genuang, Segamat di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Superintendan Mohd Kamil Sukarmi berkata, dalam kejadian jam 6.30 petang itu, Jamaluddin Abdullah, 43, bersama anaknya Mohd Faqih Helmi dalam perjalanan pulang dari bazar Ramadan di Paya Pulai ke rumahnya di Taman Bukit Indah, Bukit Siput di sini.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, sebuah kereta Proton Saga dipandu seorang lelaki berumur 30-an dari arah Labis ke Segamat hilang kawalan dan melanggar motosikal ditunggang dua beranak itu.

“Akibat rempuhan itu, dua beranak terbabit tercampak enam meter dan mangsa yang maut di tempat kejadian parah di kepala manakala anaknya patah kaki kanan dibawa ke Hospital Daerah Segamat (HDS) dengan ambulans,” katanya.

Menurutnya, pemandu kereta hanya cedera ringan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, isteri mangsa Mahfuzah Mohamad, 40, ketika ditemui di Unit Rawatan Rapi (ICU) HDS berkata, dia terkejut dengan kejadian yang meragut nyawa suaminya itu.

“Sebelum kejadian, suami ada beritahu mahu ke bazar Ramadan Paya Pulai bersama anak bongsu untuk membeli juadah berbuka.

“Malah itulah rutinnya yang gemar melayani kerenah anak bongsunya berbuka puasa sepanjang Ramadan ini,” katanya.

Menurut Mahfuzah, dia reda dengan kejadian itu dan akan membesarkan dua lagi anak Mohd Khairul Ikhwan,11, dan Mohd Izuddin Afiq, 14.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya Besar di sini, jam 11 pagi semalam yang hadiri 200 kenalan termasuk rakan setugas arwah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Julai 2015 @ 10:03 AM