GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
Irwan Shafrizan Ismail


Putrajaya: Kerajaan bersetuju untuk tidak menaikkan tarif elektrik kepada hampir semua pengguna domestik berikutan pelarasan tarif elektrik di Semenanjung melalui mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember 2023.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pada masa sama ia juga membabitkan pengguna bukan domestik dalam kategori tarif voltan rendah.

"Pengguna domestik dengan penggunaan elektrik bulanan 1,500 kWj dan ke bawah tidak akan mengalami kenaikan tarif elektrik. Ini adalah 99 peratus daripada pengguna domestik di Semenanjung.

"Pengguna bukan domestik kategori tarif voltan rendah (tarif B dan D), tarif pertanian spesifik (tarif H, H1 dan H2) tidak akan mengalami kenaikan tarif elektrik yang mana surcaj ICPT pada kadar 3.7 sen/kWj dikekalkan.

"Dalam erti kata yang lain, perniagaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) termasuk restoran, kedai runcit, bakeri, bengkel-bengkel kecil, petani, penternak, pekebun dan lain-lain perniagaan seumpamanya juga tidak akan mengalami sebarang kenaikan tarif elektrik," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengumumkan pelarasan tarif elektrik di Semenanjung bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember 2023 di sini hari ini.

Nik Nazmi berkata, pengguna domestik dengan penggunaan elektrik tinggi melebihi 1,500 kWj atau bersamaan bil elektrik minimum RM708 sebulan akan dikenakan surcaj pada kadar 10 sen/kWj.

Katanya, ia selaras hasrat kerajaan menerusi Mesyuarat Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) supaya subsidi elektrik dilaksana secara bersasar bermula Julai ini.

"Dianggarkan seramai 83,000 pengguna iaitu satu peratus pengguna domestik akan mengalami kenaikan bil elektrik bulanan minimum sebanyak RM187 (25 peratus).

"Namun satu peratus ini bukan golongan T20 tapi mereka yang menggunakan elektrik dengan penggunaan tinggi.

"Walaupun berlaku kenaikan bagi pengguna domestik kategori ini, kerajaan masih menanggung subsidi sebanyak RM58 juta khas untuk kategori ini memandangkan surcaj ICPT tidak dilepaskan sepenuhnya.

"Pengguna boleh melihat jumlah subsidi yang diberikan oleh kerajaan dalam bil elektrik bulanan masing-masing," katanya.

Beliau berkata, pelarasan baharu ini mengambil kita penurunan sedikit purata harga bahan api dari AS$224 (RM1,047) per metrik tan (Julai hingga Disember 2022) kepada AS$173.50 (RM811)

"Namun purata harga arang batu masih lagi tinggi dan melebihi unjuran kos bahan api yang ditetapkan dalam tempoh kawal selia ketiga (RP3) iaitu AS$79 per metrik tan (RM369)," katanya.

Selain itu Nik Nazmi berkata, kategori baharu pengguna bukan domestik iaitu operator air dan pembetungan di negeri-negeri akan menikmati penurunan kadar surcaj daripada 20 sen/kWj kepada 3.7 sen/kWj.

"Ini bermakna operator air di bawah kerajaan negeri akan menikmati surcaj yang lebih rendah untuk tempoh Julai hingga Disember 2023.

"Keputusan ini adalah selaras dengan usaha kerajaan bagi meningkatkan kapasiti dan keupayaan operator air untuk menyediakan air terawat dan bersih kepada pengguna," katanya.

Beliau berkata, pengguna bukan domestik iaitu pengguna bervoltan sederhana (MV) dan tinggi (HV) daripada kalangan industri dan komersial akan menikmati penurunan kadar surcaj daripada 20 sen/kWj kepada 17 sen/kWj.

"Ini bermaksud, pengguna bukan domestik MV dan HV ini akan menikmati penurunan bil elektrik di antara 28 hingga 35 peratus sebulan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Nik Nazmi berkata, kerajaan bersetuju untuk melonggarkan syarat Program Net Energy Metering (NEM) dan Program Self-Consumption for Solar PV Installation (SelCo) yang akan berkuat kuasa mulai 15 Julai ini bagi menggalakkan lagi pemasangan sistem solar PV terutamanya pada struktur bumbung premis bangunan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Jun 2023 @ 6:06 PM