Oleh Suzalina Halid


Kuala Lumpur: Subsidi tarif elektrik bagi pengguna domestik kategori T20 perlu dikaji semula pada masa depan kerana golongan berkenaan lebih berkemampuan untuk membayar tarif lebih kompetitif.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata negara perlu beralih kepada subsidi secara bersasar dalam tarif elektrik dengan memastikan hanya golongan sasar memperoleh manfaatnya.

"Kita ada kerangka Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) untuk tetapkan tarif harga elektrik...kita masih melindungi dan kekalkan kadar sama bagi pengguna domestik walaupun T20.

"Itu satu perkara yang bagi saya perlu fikir semula pada masa depan kerana kalau cakap soal tarif untuk T20, mereka dapat gaji besar dan perlu bayar tarif lebih kompetitif.

"Untuk M40 dan B40 saya setuju kita perlu melindungi mereka," katanya semasa sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja, di Dewan Rakyat, di sini.

Tahun lalu, kerajaan memutuskan bahawa tarif elektrik bagi pengguna bukan domestik bervoltan sederhana dan tinggi dikenakan surcaj pada kadar 20 sen/kWj.

Pada masa sama, Nik Nazmi mempertahankan kenaikan surcaj berbanding 3.7 sen/kWj sebelum ini kerana ia membabitkan operasi besar di mana kerajaan tidak boleh meneruskan subsidi korporat.

Namun beliau berkata, kerajaan akan memberi kadar tarif lebih baik kepada beberapa syarikat yang perkhidmatannya boleh memberi kesan kepada rakyat, termasuk utiliti melalui kitaran ICPT akan datang.

"Saya setuju ada beberapa syarikat terkesan (jika berlaku kenaikan tarif) contohnya syarikat utiliti yang memberi perkhidmatan kepada rakyat dan kita akan beri kadar lebih baik kepada mereka.

"Kita tidak boleh meneruskan subsidi korporat kerana korporat mendapat keuntungan besar berbanding kadar gaji dan sebagainya.

"Isunya kita kena beralih kepada subsidi bersasar yang memberi manfaat kepada rakyat secara langsung," katanya.

Nik Nazmi berkata, kerajaan juga akan menggubal perundangan dalam soal keberkesanan tenaga supaya syarikat mengkaji cara lebih efisyen untuk menghasilkan sesuatu produk.

"Kita mahu mereka mengamalkan keberkesanan tenaga sebab kita nak tarik pelabur bukan atas dasar kos, tarif atau gaji rendah sebaliknya disebabkan kita ada nilai tambah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Februari 2023 @ 3:57 PM