GAMBAR hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO NSTP
BERNAMA

Putrajaya: Sebanyak 85 peratus atau tujuh juta pengguna domestik di Semenanjung Malaysia tidak terjejas dengan pelarasan tarif elektrik bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2024, yang dilaksanakan di bawah mekanisme Pelepasan Kos-Kos Tidak Seimbang (ICPT), menurut Suruhanjaya Tenaga (ST).

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, ST berkata, ia susulan keputusan kerajaan untuk mengekalkan rebat 2 sen/kilowatt-jam (kWj) bagi golongan pengguna dengan penggunaan elektrik sebanyak 600kWj dan ke bawah sebulan.

Bagi golongan pengguna dengan penggunaan elektrik melebihi 600kWj hingga 1,500kWj sebulan pula, tiada surcaj akan dikenakan manakala kadar surcaj dikekalkan pada kadar 10 sen/kWj bagi pengguna dengan penggunaan elektrik bulanan melebihi 1,500kWj.

"Sehubungan itu, sejumlah 99 peratus atau 8.2 juta pengguna domestik masih menerima subsidi daripada kerajaan," kata suruhanjaya itu.

ICPT merujuk kepada satu mekanisme di bawah Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR), yang membolehkan kos bahan api diselaraskan setiap enam bulan, berdasarkan turun naik harga global bahan api.

Menurut ST, pengguna bukan domestik kategori tarif komersial dan perindustrian voltan rendah (tarif B dan D), tarif pertanian spesifik (tarif H, H1 dan H2) serta operator air dan pembetungan, tidak akan mengalami kenaikan tarif elektrik dengan surcaj ICPT pada kadar 3.7 sen/kWj dikekalkan.

"Pengguna bukan domestik lain, surcaj kekal pada kadar 17 sen/kWj," menurut ST.

Suruhanjaya itu berkata berdasarkan kepada penyasaran semula subsidi berkenaan, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM1.9 bilion subsidi kepada semua kategori pengguna terbabit bagi meminimumkan impak surcaj ICPT sepanjang tempoh pelaksanaan itu.

ST turut menasihatkan pengguna untuk merujuk kepada bil elektrik bulanan masing-masing bagi memantau penggunaan elektrik dan subsidi yang diberikan.

Bagi pengguna yang ingin menganggarkan kos bil elektrik bulanan pada masa akan datang, ST menyarankan penggunaan kalkulator tarif elektrik yang boleh didapati di laman sesawang https://myelectricitybill.my/.

ST memaklumkan pelarasan tarif elektrik di bawah pelaksanaan mekanisme ICPT itu adalah terpakai bagi semua pengguna di Semenanjung Malaysia kecuali pengguna di Kulim Hi-Tech Park, Kedah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Disember 2023 @ 8:11 PM