FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Mahani Ishak


Kuala Lumpur: Kerajaan bersetuju menangguhkan pelaksanaan Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi tempoh Regulatori Ketiga.

Suruhanjaya Tenaga (ST) berkata, kadar purata tarif asas elektrik kekal pada 39.45 sen/kWj di Semenanjung sehingga ke satu tarikh yang akan diputuskan oleh kerajaan.

"Oleh itu, mulai hari ini (1 Januari) kadar purata tarif asas elektrik kekal pada 39.45 sen per kilowatt jam (kWh) di Semenanjung sehingga ke satu tarikh yang akan diputuskan oleh kerajaan.

"Dalam pada itu, kerajaan turut memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan pelarasan tarif elektrik di bawah mekanisme Pelepasan Kos Bahan Api Tidak Seimbang (ICPT) mulai hari ini sehingga ke satu tarikh yang akan ditentukan," katanya pada kenyataan.

Sehubungan itu, kadar rebat semasa dua sen/kWj kepada semua pengguna elektrik di Semenanjung dikekalkan untuk tempoh itu.

"Dengan keputusan penangguhan RP3 dan ICPT ini, pengguna di Semenanjung tidak mengalami kenaikan kadar tarif asas elektrik," katanya.

Pada 23 Disember 2020, kerajaan sudah mengekalkan purata tarif asas TNB pada kadar 39.45 sen/kWj bagi 2021 dan rebat dua sen/kWj kepada semua pemilik akaun TNB bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2021 dan dilanjutkan hingga semalam.

Rebat yang pertama kali dinikmati sejak Julai 2018 itu dinikmati oleh semua pengguna elektrik TNB, domestik dan bukan domestik.

Langkah itu diambil berikutan keputusan kerajaan untuk melanjutkan tempoh Regulatori Kedua TNB di bawah mekanisme IBR sehingga semalam.

Bermula 1 Januari 2014, purata kadar tarif elektrik TNB 4.99 sen/kWj (14.89 peratus) dinaikkan daripada 33.54 sen/kWj kepada 38.53 sen/Kwj.

Dalam kajian semula Bajet 2015, kerajaan mengumumkan

penangguhan kenaikan tarif bagi 2015.

Seterusnya pada 2017, kerajaan bersetuju mengekalkan kadar purata tarif elektrik asas yang dikenakan kepada pengguna di Semenanjung, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2017.

Rebat tarif 1.52 sen/kWj di Semenanjung kekal bagi 1 Julai hingga 31 Disember 2017 dikekalkan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 January 2022 @ 12:50 PM