KERAJAAN akan memperuntukkan subsidi berjumlah RM10.76 bilion. FOTO Bernama
KERAJAAN akan memperuntukkan subsidi berjumlah RM10.76 bilion. FOTO Bernama
Irwan Shafrizan Ismail


Putrajaya: Kerajaan bersetuju untuk tidak menaikkan tarif elektrik kepada semua pengguna domestik berikutan pelarasan tarif elektrik di Semenanjung melalui mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT).

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pada masa sama pengguna bukan domestik dalam kategori tarif voltan rendah terdiri perniagaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) termasuk restoran, kedai runcit, bakeri, bengkel kecil dan lain seumpamanya juga tidak akan mengalami sebarang kenaikan tarif elektrik.

"Dalam hal ini kerajaan memperuntukkan RM8.74 bilion subsidi kepada kategori pengguna ini.

"Keputusan ini dibuat berikutan Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara pada 13 Disember lalu yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mesyuarat Jemaah Menteri yang diadakan keesokannya.

"Bagi memastikan harga barangan makanan dan produk pertanian tidak mengalami sebarang kenaikan, pengguna seperti petani, penternak dan pekebun yang termasuk dalam kategori pertanian spesifik (tarif H) turut tidak akan mengalami kenaikan tarif elektrik.

"Kerajaan memperuntukkan tambahan RM90 juta subsidi kepada kategori pengguna ini.

"Justeru, lebih sembilan juta pengguna elektrik yang melebihi 90 peratus daripada keseluruhan pengguna di Semenanjung tidak akan terkesan dengan kenaikan kos bahan api untuk penjanaan elektrik," katanya pada sidang media mengumumkan pelarasan tarif elektrik di Semenanjung bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2023, di sini, hari ini.

Beliau berkata, namun, pengguna bervoltan sederhana (MV) dan tinggi (HV) kalangan industri termasuk perbadanan multinasional (MNC) akan dikenakan surcaj pada kadar 20 sen/kWj.

"Ini bermakna kerajaan masih lagi menampung subsidi sebanyak RM1.93 bilion agar peningkatan surcaj ini tidak dilepaskan keseluruhannya secara mendadak," katanya.

Nazmi berkata, secara keseluruhannya, kerajaan akan memperuntukkan sejumlah RM10.76 bilion subsidi bagi memastikan perkara ini dapat dilaksanakan.

"Kos subsidi yang sepatutnya diberikan oleh kerajaan untuk mengekalkan tarif elektrik sedia ada adalah sebanyak RM14.91 bilion.

"Namun, dengan pelaksanaan subsidi secara bersasar begini, peruntukan tambahan berjumlah RM4.16 bilion yang sepatutnya dikeluarkan oleh kerajaan untuk menampung subsidi elektrik ini dapat dibelanjakan untuk tujuan bantuan kepada rakyat dalam bentuk yang lain," katanya.

Beliau berkata, krisis tenaga di peringkat global sudah memberikan tekanan yang belum pernah berlaku kepada industri tenaga elektrik disebabkan harga bahan api yang sangat tinggi.

"Ini menyebabkan peningkatan mendadak kos penjanaan elektrik dan pelarasan tarif elektrik melalui mekanisme ICPT berada pada kadar yang sangat tinggi iaitu sebanyak RM7 bilion bagi tempoh Januari hingga Jun lalu dan RM16.16 bilion bagi tempoh Julai hingga Disember ini.

"Berdasarkan kepada kos penjanaan yang sangat tinggi ini, semua pengguna elektrik di Semenanjung sepatutnya dikenakan surcaj sebanyak 27 sen/kWj bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2023 yang akan menyebabkan peningkatan kos sara hidup sekiranya dilepaskan kepada pengguna sepenuhnya.

"Sekiranya keseluruhan kos ICPT ditampung melalui subsidi, kerajaan pula perlu menyediakan peruntukan yang sangat besar dan membebankan," katanya.

Selain itu beliau berkata, kerajaan mengiktiraf dan menghargai peranan yang dimainkan oleh syarikat multinasional dan perniagaan bersaiz besar dalam pembangunan ekonomi dan pemulihan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Disember 2022 @ 7:15 PM